"Pedih" Disindir Abdul Hadi, Mahathir Balas Dendam


ALOR SETAR - Mungkin gara-gara "pedih" terasa hati dengan sindiran pedas Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini, Tun Dr Mahathir menyuruh Presiden PAS itu supaya meninggalkan pentas politik dan menjadi seorang ustaz.

Kata Mahathir yang kini bersahabat baik dengan Lim Kit Siang itu, sekiranya Abdul Hadi tidak cukup tahu tentang Islam, beliau boleh beri Al-Quran untuk menjadi rujukan kepada Naib Pengerusi Pertubuhan Ulama Sedunia itu.

"Dia (Abdul Hadi) sepatutnya jadi ustaz, bukan masuk politik, dia ajar di kampung-kampung yang mana dia cukup layak tetapi dalam bidang politik dia tidak tahu apa-apa, jauh sekali dalam bidang pentadbiran, bila dia dapat Terengganu dia tadbir apa jadi pada Terengganu?

"Sebab itu saya nasihat Abdul Hadi tolonglah awak balik ke sekolah-sekolah dan ajar agama, tetapi agama yang betul bukan agama mengkafir, itu tidak penting, kalau dia tidak tahu cukup pasal agama Islam, saya boleh bagi dia rujuk al-Quran," katanya mengherdik Abdul Hadi, di ibu pejabat PPBM yang dibubarkan RoS, semalam.

Presiden PAS itu sebelum ini menyindir pedas Mahathir yang disifatkan suka menggunakan logik akal untuk mengeluarkan kenyataan tentang agama Islam dan tidak bersandarkan hukum-hakam yang disepakati oleh ulama-ulama yang lebih pakar mengenai Islam.

Abdul Hadi berkata, Mahathir kurang "ahli" dalam bidang ilmu agama untuk mengulas mengenai Islam dan lebih sesuai bertugas sebagai doktor di Klinik 1Malaysia dengan memberi rawatan percuma untuk kebajikan.

"Dia (Mahathir) ni dia nak cakap belaka. Agama nak bercakap, politik nak bercakap. Bab agama - Quran (dia) tak boleh terima semua, hadis tak boleh pakai, macam-macam...

"Patutnya dia - seorang doktor - kerja di Klinik 1Malaysia bagi rawatan percuma, buat kebajikan. Ini, suruh bertanding (dalam PRU), kesian dia," katanya dalam satu ceramah di Pulau Pinang, berseloroh di depan penyokong yang hadir baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mahathir turut menyuruh Abdul Hadi supaya pergi belajar mengenai Islam secara mendalam dan Presiden PAS itu akan dilantik Mahathir sebagai pensyarah di sebuah universiti Islam selepas memahami ilmu agama dengan baik.

"...Saya fikir dia patut juga pergi belajar lagi supaya fahaman Islam dia lebih mendalam dan balik sini kalau dia pandai kita beri dia jadi pensyarah di universiti Islam," katanya semalam memetik laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com.

Mahathir ketika berjawatan Perdana Menteri dilaporkan pernah dianggap menghina sunnah Rasulullah berhubung isu bercukur dengan "Gillette", selain pernah menuduh bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Haron Din, menjual air jampi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com