PBS Buat Laporan Polis Tuduhan Keluar BN


KOTA KINABALU – Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun hari ini membuat laporan polis berhubung tuduhan kononnya beliau telah membuat pengumuman yang PBS telah keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Mositun yang ditemani peguam dan beberapa pemimpin PBS membuat laporan polis itu pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di Karamusing.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata tuduhan terhadapnya itu amat serius dan meminta pihak polis mengambil tindakan tegas di bawah Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.

“Saya terkilan dengan kenyataan tersebut dan menafikan ada membuat pengumuman berkenaan. Ia sudah tular di media sosial dan ini boleh menjejaskan keluarga saya serta kedudukan saya dalam parti. Apa yang ditularkan langsung tidak benar,” katanya.

Beliau juga percaya individu yang menularkan tuduhan berkenaan berniat jahat dan sengaja ingin menjejaskan kredibiliti PBS dan BN.

Mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp itu diterimanya kira-kira 9.30 malam tadi yang menyatakan beliau sudah membuat pengumuman bahawa PBS sah keluar daripada BN. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com