Pasukan AS Siasat Kekejaman Tentera Myanmar


COX’S BAZAR - BANGLADESH. Amerika Syarikat (AS) sedang menjalankan pemeriksaan intensif terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya dengan mendokumenkan tuduhan bunuh, rogol, penderaan fizikal dan kemungkinan kesalahan lain yang boleh digunakan untuk mendakwa tentera Myanmar melakukan jenayah kemanusiaan.

Proses diketuai oleh Jabatan Negara itu melibatkan lebih seribu temu bual bersama pelarian Rohingya di kem sementara yang menempatkan hampir 700,000 orang di Bangladesh.

Ia disertai kira-kira 20 penyiasat yang mempunyai latar belakang undang-undang antarabangsa dan keadilan jenayah termasuk sebahagian yang bekerja di tribunal di Rwanda dan negara bekas Yugoslavia yang dijalankan pada Mac dan April.

Maklumat itu kemudiannya akan dianalisis di Washington dan laporan didokumentasikan itu akan dihantar kepada kepimpinan Jabatan Negara pada bulan depan atau awal Jun.

Usaha tersebut dimodelkan pada siasatan forensik besar-besaran di wilayah Darfur pada 2004 yang membawa kepada deklarasi pembunuhan beramai-ramai oleh AS hingga menyebabkan sekatan ekonomi terhadap kerajaan Sudan.

Dalam perkembangan berkaitan, delegasi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) akan mengadakan lawatan ke Rakhine pada Isnin ini untuk melihat sendiri kesan konflik di negara itu. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com