Pasangan Kekasih Bergaduh, Tapi Lepas Geram Pada Lamborghini Orang


SUBANG JAYA - Bukan sahaja mencalarkan kereta mewah milik seorang lelaki berpangkat Datuk ,sepasang kekasih diberkas polis apabila turut memaki hamun mangsa dengan perkataan kesat dan lucah, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa yang berusia 50 tahun dikatakan meletakkan kereta jenis Lamborghini di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway di sini sebelum kembali mengambilnya kira-kira jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, sebaik mendekati keretanya, dia didatangi 'jockey' yang memberitahu keretanya dicalar dua individu warga asing masing-masing warga Arab dan Afrika.

Menurutnya, mangsa memeriksa keadaan kereta dan mendapati terdapat kesan calar pada bahagian pintu sebelah kiri dan bahagian but belakang.

“Mangsa yang merupakan ahli perniagaan itu kemudian bertemu dengan kedua-duanya dan bertanya mengenai kejadian terbabit. Suspek wanita terbabit kemudian membalas kata-kata mangsa dengan kata-kata kesat.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila pasangan kekasih tersebut dikatakan bergaduh berhampiran kawasan itu dan melepaskan geram ke atas kereta mangsa ,”katanya.

Mohammad Azlin berkata, mangsa tidak pasti alatan yang digunakan untuk mencalarkan kenderaannya namun kerugian dianggarkan mencecah hampir RM20,000.

“Kedua-duanya berjaya diberkas dan kes disiasat sebagai khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,”katanya.

Sumber: Sinar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com