PAS Sedia Bentuk Kerajaan Bersama


PETRAJAYA - Kepemimpinan PAS yang menyifatkan parti itu sebagai 'kuasa penentu' pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyatakan kesediaan membentuk Kerajaan Pusat bersama Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang jika kedua-dua pihak berkenaan komited menerima pendekatan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pendekatan Islam dimaksudkan adalah pendekatan adil untuk semua termasuk kepada bukan Islam.

Katanya, keyakinan menjadi 'kuasa penentu' tertubuhnya Kerajaan Pusat pasca PRU-14 disuarakan berikutan parti berkenaan mampu menang sekurang-kurangnya lebih 40 kerusi daripada 160 kerusi Parlimen ditandinginya.

"Pada pilihan raya umum 1999, PAS menang 27 kerusi, pada 2013 pula PAS menang 21 kerusi ketika bersama Pakatan Rakyat), manakala 30 kerusi dimenangi rakan parti lain (PKR dan DAP) dalam Pakatan Rakyat pada PRU-13 lalu adalah kerusi PAS. Jadi, tidak mustahil PAS berperanan sebagai 'kingmaker'.

"Andai kata BN hanya mampu menang 100 kerusi saja dan PAS bersedia berbincang membentuk Kerajaan Pusat bersama, mereka perlu bersetuju dengan pendekatan Islam, begitu juga dengan pakatan pembangkang.

"Pihak mana yang bersetuju, kita akan bersama membentuk kerajaan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pengumuman Calon PAS Sarawak Pada PRU-14, di Ibu Pejabat PAS Sarawak, di sini semalam.

PAS Sarawak bertanding lima kerusi Parlimen di negeri ini membabitkan Parlimen Petra Jaya diwakili Hamdan Sani; Kota Samarahan (Zulkepli Ramzi); Batang Sadong (Asan Singkro); Batang Lupar (Wan Abdillah Wan Ahmad) dan Sibuti (Zulaihi Bakar).

Abdul Hadi berkata, PAS bersikap terbuka dan tidak akan menutup pintu rundingan bagi pembentukan Kerajaan Pusat, bahkan bersedia membentuk Kerajaan Perpaduan membabitkan BN dan pakatan pembangkang.

"Jika kedua-dua pihak bersetuju mengekalkan pendekatan Islam dalam pemerintahan Kerajaan Pusat, kita (BN dan pakatan pembangkang) sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan dan tidak perlu ada pembangkang," katanya.

Ditanya situasi bakal berlaku andai BN dan pakatan pembangkang tidak mempunyai majoriti mudah iaitu 112 kerusi dan menolak pendekatan Islam, Abdul Hadi berkata, PAS akan menjadi pembangkang.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com