PAS Minta Nik Omar Beri Penjelasan


KOTA BHARU - PAS akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Nik Omar Nik Aziz yang tampil bertanding sebagai calon PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Nik Omar perlu memberi penjelasan berhubung tindakannya sama ada beliau sudah menyertai parti lain.

Katanya, setakat ini Nik Omar tidak membuat sebarang permohonan untuk keluar parti dan beliau masih ahli PAS.

"Mengikut perlembagaan sekiranya mana-mana ahli menyertai parti lain, individu berkenaan secara automatik gugur sebagai ahli PAS.

"Namun sekiranya dia tidak menyertai PKR atau Parti Amanah Negara (PAN) namun bertanding atas tiket parti itu, kita memberi tempoh selama 30 hari untuk beliau memberi penjelasan," katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan parti terhadap Nik Omar bergantung kepada penjelasan yang dibuat oleh anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Terdahulu, Nik Omar muncul di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Pengkalan Chepa bagi menyerahkan borang sebagai calon di DUN Chempaka.

 Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com