PAS Letak YDP Kawasan Cabar Mahathir Di Langkawi


ALOR SETAR - Penantian siapa gerangan calon PAS yang bakal menjadi pencabar di kerusi Parlimen Langkawi kini terjawab setelah parti bulan purnama itu mengumumkan Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad sebagai penentang Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Kali ini PAS membuat penampilan semula dengan mempertaruhkan Zubir, 55, yang pernah tewas dengan Barisan Nasional (BN) ketika bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada PRU-11.

Difahamkan, beliau merupakan seorang 'tauke' di sebuah kedai runcit di Langkawi dan pernah mewakili PAS pada PRU 2008 dan 2013 bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat namun sekali lagi tewas kepada BN.

Pesuruhjaya PAS negeri Kedah, Dr. Ahmad Fakhrudin Sheikh Fakhrurazi membuat keputusan mengumumkan Zubir sebagai calon di Langkawi ekoran parti gabungan mereka, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menolak untuk meletakkan calon di kerusi Parlimen Langkawi.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fakhrudin turut mengumumkan pertukaran calon di kerusi Parlimen Jerai akibat terdapat masalah teknikal perundangan membabitkan calon terdahulu iaitu Mohamad Ismail.

Tempat beliau digantikan Naib Yang Dipertua Kawasan Jerai yang juga seorang guru, Mohd. Sabri Azit, 52. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com