PAS Kecam Pihak Gereja, Cabar Tanding PRU14!


KUALA LUMPUR – PAS mencabar pihak gereja menyertai politik tanpa mencabut jubah paderi mereka berikutan kenyataan Rt. Rev. Bernard Paul dan Bishop’s Circular No: BP/2018/014 seperti yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ucapan gereja itu pada zahirnya satu kebenaran, walhal tujuannya adalah kebatilan dan kejahatan seperti yang pernah ditegaskan Imam Ali Abi Talib R.A, malah berkait rapat dengan agenda DAP.

Kata beliau. PAS dapat membaca yang tersirat dalam kenyataan pihak gereja itu iaitu meminggirkan Islam daripada Perlembagaan Negara dan memperkecilkan Raja-raja Melayu yang menjadi Ketua Agama yang dibandingkan seperti kayu-kayu mati.

“Kalau para ulama PAS yang berjubah dan berserban turun ke medan bertanding pilihan raya menjadi calon, maka saya juga mencabar supaya mereka itu terjun ke medan politik bersama parti yang dipilihnya tanpa mencabut jubah paderi yang dipakai itu,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Berikut ulasan lanjut Presiden PAS berhubung kenyataan pihak gereja mengenai PRU14 tersebut:

Parti-parti sekular dilindungi oleh gereja yang meneruskan warisan penjajah itu. Menterjemahkan Islam daripada perkataan ‘religion’ bukannya ‘Al-Din’ mengikut bahasa Al-Quran.

Malangnya ada kalangan mereka menjadi ahli Zionis (Pertubuhan Yahudi) yang mereka percaya membunuh dan mensalibkan Nabi Isa A.S. Adapun kami umat Islam percaya Nabi Isa tidak disalib, bahkan Isa akan kembali di akhir zaman menyatukan umat Kristian kembali bersama umat Islam.

Saya tercium betapa DAP mendapat bayangan kalangan mereka itu, menjadikannya sangat galak berjuang merobek Perlembagaan Persekutuan, mendesak supaya merendahkan kedudukan Islam dan melemahkan Institusi Raja-Raja Berperlembagaan secara senyap dan sindiran.

Mereka bergabung dengan golongan anti hadis dan liberal. Kalangan ahli politik yang mencari jalan pintas bergayut bersama, sama ada kalangan umat Islam yang bebal sepak terajang politik atau yang buta politik, dan juga kalangan bukan Islam.

Islam meletakkan para paderi yang tidak bermusuh terhadap Islam. Al-Quran menunjukkan betapa kasih sayang terhadap para paderi yang dirakamkan dalam Firman Allah:

“Kamu pasti mendapati kalangan paling bermusuh terhadap orang-orang yang beriman itu ialah orang Yahudi dan Musyrikin. Dan kamu dapati yang paling dekat dan mengasihi orang-orang yang beriman itu daripada kalangan yang berkata kami adalah orang-orang Nasora (Kristian). Mereka itu terdiri daripada kalangan para paderi dan pendita dan mereka tidak takabur (sombong).” (Surah Al-Maidah: 82)

Islam yang sebenar berjaya membuktikan kerajaan yang bersih, adil dan rahmat. Apa yang berlaku kini bukannya model Islam yang sebenar. Walaupun sudah ada undang-undang menentang rasuah dan salah laku tetapi dihilangkan roh Islamnya kerana pemisahan politik daripada agama.

Mereka terus mempertahankan prinsip dan konsep ideologi penjajah itu, contohnya direalisasikan penentangannya terhadap RUU 355 kerana tujuannya memperkenalkan sedikit hukum Islam yang berbeza dengan undang-undang warisan penjajah dalam hanya hukuman sebatan yang sama sebutannya, tetapi berbeza konsep dan caranya.

Walaupun dalam perkara yang berkait umat Islam tanpa menyentuh penganut bukan Islam, tetapi mereka menentang juga dengan berbagai helah dan mempengaruhi penganut Islam dan mengugut kalangan bukan Islam yang terus menghormati hubungan masyarakat majmuk.

Kami dapat membaca yang tersirat daripada kenyataannya bagi meminggirkan Islam daripada Perlembagaan dan memperkecilkan Raja-raja yang menjadi Ketua Agama yang dibandingkan seperti kayu-kayu mati. Padahal mereka yang mengerat akarnya supaya mati, bukannya ditukar bajanya daripada baja ciptaan penjajah kepada baja Islam.

Kalau para ulama PAS yang berjubah dan berserban turun ke medan bertanding pilihan raya menjadi calon, maka saya juga mencabar supaya mereka itu terjun ke medan politik bersama parti yang dipilihnya tanpa mencabut jubah paderi yang dipakai itu.

Cukuplah jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen yang terdekat menegaskan, bahawa hanya pemimpin PAS yang tidak disoal siasat oleh SPRM. Bukan PAS mahu mengangkat diri sendiri kerana dilarang oleh Islam, tetapi pihak lain yang memberi jawapan. Rahsianya kerana Islam menjadi akidah perjuangan yang meletakkan politik menjadi sebahagian daripada agama.

Kisah benar dalam sejarah Islam, apabila seorang wanita penjual susu di zaman Khalifah Umar R.A meletakkan air ke dalam susu di waktu malam untuk dijual di pasar besoknya. Tiba-tiba anak gadisnya menegur: “Ibu jangan menipu!”. Ibunya menjawab: “Khalifah Umar tidak tahu!”. Maksudnya ketua negara yang menguatkuasakan undang-undang tidak tahu kerana dilakukan waktu malam, penguatkuasa sedang tidur. Si anak gadis menjawab: “Walaupun Umar tidak tahu, tetapi Tuhan Maha Mengetahui”.

Khalifah Umar yang mengintip terus menandakan rumah itu. Tiba-tiba gadis yang beriman dan budiman itu dipinangkan untuk puteranya. Ya! anak ketua negara berkahwin anak penjual susu yang miskin. Keberkatannya melahirkan zuriat seorang bernama Umar Abdul Aziz yang pernah menjadi idola Ketua Menteri Pulau Pinang dahulunya.

Rahsianya apabila Islam meletakkan semua urusan manusia termasuk memerintah negara dan politik berwawasan Akhirat mengikut perhitungan dosa dan pahala atau syurga dan neraka.

Maka usaha meminggirkan Islam daripada Perlembagaan Persekutuan, melemahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, melumpuhkan atau membatalkan institusi yang berkaitan dengan Islam hendaklah ditentang habis-habisan. Tegasnya wajib menolak parti-parti yang berhasrat demikian, kalangan bukan Islam berbagai agama juga wajib menolak langkah yang mahu mengekalkan agenda penjajah yang telah kita sama-sama menghalaunya.

Semua kaum dan penganut berbagai agama dalam masyarakat majmuk memilih demokrasi sama ada parti-parti dalam Perikatan dahulu (Umno, MCA, MIC, USNO, PBB dan lain lain) termasuk PAS yang terus rela menjadi pembangkang menerima Perlembagaan Persekutuan yang ada berteraskan Islam Agama Persekutuan dan hak kebebasan kepada agama-agama lain, serta Raja Berperlembagaan bersama sistem demokrasi yang damai. Semuanya mengetahui masih banyak kelemahannya yang wajib diubah secara merdeka daripada saki baki pemikiran penjajah dan pengaruhnya.

PAS berjuang secara damai memilih pendekatan demokratik melakukan perubahan yang sangat menghormati hubungan masyarakat majmuk walaupun sekadar berkuasa khususnya di peringkat negeri Kelantan, paling lama penuh sabar menghadapi tekanan dan kepungan dengan mengutamakan hubungan dalam konsep federalisma yang lebih diutamakan daripada kepentingan negeri dan satu kaum dan satu agama sahaja tanpa paksaan terhadap bukan Islam.

Maka PAS menentang sekeras-kerasnya terhadap kalangan yang merungkai Perlembagaan yang merosakkan, bukan penambahbaikan. Lebih membahayakan lagi kalangan yang menjadi jentera penjajah yang menjadikan Islam sebagai musuh sehingga boleh mengancam kedaulatan negara.

PAS tetap beristiqamah di atas dasar dan konsep tersebut walaupun menang atau kalah sehingga laksana burung yang bertongkat paruh sehingga akhir hayat.

“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: “Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri”. (Surah Al-Ankab) - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com