PAS Kata Pemimpin PAN Cuba Had Kuasa Majlis Syura Ulama


ALOR SETAR – Ketika beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) masih berada di dalam parti bulan, dikatakan terdapat cubaan mengehad kuasa Majlis Syura Ulama daripada pihak tersebut.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata, tindakan pemimpin itu dijadikan punca kepada penyingkiran mereka dalam perebutan jawatan pada muktamar tahunan PAS 2015.

Jelasnya, cubaan mengehad kuasa Majlis Syura Ulama dianggap cuba mencabuli perlembagaan PAS menyebabkan anggota parti itu berang dan akhirnya mereka tersingkir .

“Mereka ketika itu cuba membawa usul di muktamar agar akhirnya majlis syura ulama hanya diberikan kuasa sebagai penasihat dan bukan seperti sekarang iaitu mempunyai kuasa tertinggi membuat keputusan dalam PAS.

“Ini bercanggah dengan perlembagaan PAS dan apa yang berlaku, muktamar ketika itu menolak usul itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-41 PAS Kawasan Pokok Sena di sini memetik Bernama.

Turut hadir Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Namun begitu, bekas pemimpin-pemimpin PAS yang dimaksudkan itu tidak dinamakan Abdul Hadi.

Difahamkan, tindakan mereka itubagi membataskan kuasa majlis syura dalam membuat keputusan berkaitan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dalam gabungan pembangkang dengan PKR dan DAP.

Selepas 'peristiwa' itu, Majlis syura memutuskan untuk menamatkan hubungan dengan PKR dan DAP kerana disifatkan membelakangkan konsep kerjasama termasuk tidak bersetuju mengenai Islam yang dibawa PAS.  - Kedahnew.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com