PAS Kata Demokrasi Musnah Jika Pakatan Menang PRU14


KUALA LUMPUR – Sistem demokrasi Malaysia bakal hancur jika Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad ketika memberi amaran itu berkata, ia sudah pun terbukti apabila PH membantah PAS bertanding 160 kerusi Parlimen dan menuduh PAS sebagai pengkhianat.

Tegas beliau, berdasarkan amalan demokrasi, menjadi hak kepada mana-mana parti politik bertanding mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)

“Manakah laungan kebebasan bersuara dan berpolitik yang sering dilaungkan? Bagi mereka apa sahaja arahan dan strategi mereka wajib diikuti. Kalau tidak ikut dianggap pengkianat.

“Sekiranya inilah watak dan pembawaan yang dibawa, kalau sekiranya memerintah negara, jahanam dan akan musnah sistem demokrasi. Tidak memerintah pun sudah tunjuk belang,” katanya.

Idris dalam satu kenyataan seterusnya mengajukan soalan berikut kepada PH: “Antara PAS dengan parti-parti dalam PH, siapakah yang ditubuhkan terlebih dahulu?”

Kata beliau, tarikh penubuhan PAS ialah pada 24 November 1951 sedangkan DAP pada 18 Mac 1966 dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 4 April 1999.

“Parti Amanah Negara (PAN) pada 16 September 2015, manakala Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 8 September 2016,” katanya.

Justeru, katanya, adalah tidak benar apabila PH pula menuduh PAS yang konon memecahbelahkan pembangkang.

Idris mengingatkan PAS sudah lama melawan BN dan sebahagian besar pemimpin BN yang dilawan itu kini bersama-sama dengan PH pula.

Menurut beliau, pemimpin BN terbabit menyertai PH kerana tidak cukup dengan kemewahan dimiliki dan permintaan mereka ditolak BN sedia ada.

“Almaklumlah biasa makan daging, tiba-tiba makan ikan sepat kering mengamuklah,” sindirnya.. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com