Parlimen Bubar Minggu Ini?


PENANTIAN ini hampir berakhir. Momentum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) memasuki pusingan terakhir bulan ini manakala besar kemungkinan hari mengundi berlangsung sekitar awal Mei.

Bayangan untuk mengundi pada Mei semakin jelas: Parlimen mungkin dibubarkan akhir minggu ini selepas sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung berakhir pada 5 April.

Sebaik Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mengikut amalan semasa, pilihan raya umum biasanya diadakan dalam tempoh 29 hari daripada pembubaran hingga hari mengundi.

Ini bermakna pengundian bagi PRU-14 akan diadakan dalam minggu pertama Mei manakala keputusannya bakal diketahui beberapa jam selepas pengundian ditutup.

Kira-kira 14.8 juta rakyat layak mengundi pada pilihan raya kali ini.

Menjelang hari pengundian, Barisan Nasional (BN) memilih 7 April ini sebagai tarikh mengumumkan manifesto pilihan raya dalam perhimpunan besar-besaran di Bukit Jalil di sini.

Ia disusuli pengumuman manifesto BN yang hanya memberi tumpuan terhadap golongan muda dinamakan Tawaran Baharu Untuk Pengundi Muda pada 10 April, seperti mana dinyatakan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, kelmarin.

Kira-kira 30,000 penyokong BN dijangka menghadiri acara pada 7 April itu yang dijadual bermula pada jam 8 malam dan akan disiarkan secara langsung di televisyen.

Mengikut tradisi, BN mengumumkan manifesto selepas tarikh pilihan raya diketahui.

Ini diikuti pengumuman calon yang diadakan lebih awal sebelum hari penamaan calon.

Pemimpin dan jentera BN bersedia untuk bekerja keras sepanjang bulan ini.

“Suasana akan menjadi lebih sibuk selepas minggu depan,” kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada NSTP.

Seperkara yang menjadi faktor utama menjelang PRU-14 ialah persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diluluskan di Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan laporan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Negeri-Negeri Tanah Melayu 2018 itu diwartakan berkuat kuasa 29 Mac lalu.

Dengan pengesahan persempadanan semula, senarai calon dimuktamadkan dan jentera pilihan raya bergerak seperti sewajarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Pembubaran Parlimen boleh diadakan seawal 6 April, sehari sebelum Najib mengumumkan Manifesto BN yang bakal menjadi akujanji partinya untuk lima tahun akan datang.

Ini kali kedua Najib menerajui BN dalam pilihan raya umum selepas genap sembilan tahun menjadi Perdana Menteri pada 3 April ini.

Najib yang mempunyai jadual kerja padat dijadual menyampaikan ucaptama kepada pegawai kanan kerajaan pada 4 April sebelum terbang ke Sarawak.

Beliau akan menghadiri beberapa majlis di Miri, Marudi dan Bintulu sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada 5 April.

Pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman berkata, sudah tiba masanya kerajaan mendapatkan mandat baru daripada pengundi.

“Lagi lama ditangguh, semakin banyak isu timbul, isu palsu yang bukan-bukan muncul.

“Saya rasa 21 April tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada 5 Mei,” katanya.

Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi, sependapat dalam meramalkan pembubaran Parlimen Jumaat ini atas faktor Jumaat sebagai hari penuh ‘keberkatan’.

Pakar Strategis Geopolitik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Azmi Hassan, berpendapat 4 April mungkin dipilih Najib membubar Parlimen sehari selepas menyambut ulang tahun kesembilan menyandang jawatan Perdana Menteri.

“Apa lagi perlu ditunggu selepas Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan dan petunjuk ekonomi yang kukuh.

“Persempadanan (kawasan) adalah pemangkin kepada tarikh bubar (Parlimen). Oleh kerana SPR sudah siap sedia, maka penamaan calon mungkin diadakan seminggu selepas Parlimen dibubar dan tempoh kempen mungkin dalam masa minimum iaitu 11 hari,” katanya.

Sumber– Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com