PAN Janji Umum Tarikh PRU15 Pada Malam Angkat Sumpah Bentuk Kerajaan PRU14?


ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa rakyat di negara ini malang kerana kononnya tidak diberitahu tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) sebagaimana negara-negara lain yang mengamalkan konsep demokrasi.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Sany Hamzan mendakwa, rakyat di negara lain diberitahu tarikh pilihan raya yang bakal diadakan, namun kononnya ia tidak berlaku di negara ini.

"Malang jadi rakyat Malaysia, tarikh pilihan raya pun tak tahu. Kalau di Indonesia, mereka sudah tahu tarikh pilihan raya.

"Masyarakat dan pengundi di Thailand dan Singapura pun mereka tahu bila tarikh mengundi. Kita di Malaysia ini berteka-teki (tarikh pilihan raya)," katanya pada satu ceramah umum di Jempul semalam, memetik laporan sebuah portal pro-pembangkang.

Menurut perundangan negara, pilihan raya untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (Dun) diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal.

Kemudian, Pilihan Raya Umum (PRU) hendaklah diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran yang diumumkan Perdana Menteri setelah diperkenankan Yang DiPertuan Agong.

Selepas pembubaran berlaku, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mewartakan notis yang akan menjelaskan tentang penetapan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi bagi pemilih yang sah berdaftar.

Namun begitu, Sany berjanji bahawa sekiranya Pakatan Harapan berkuasa pada PRU ke-14 ini, mereka akan mengumumkan tarikh PRU ke-15 pada malam angkat sumpah membentuk kerajaan.

“Kalau diizinkan Allah Taala, kita Pakatan Harapan dapat kuasa, malam ini kita angkat sumpah membentuk kerajaan, boleh tak kita umumkan tarikh pilihan raya ke-15? Boleh," katanya memetik sumber yang sama. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com