Pampasan RM6.2 Juta Akibat Digigit Pepijat


San Francisco: Keluarga di California yang anak lelaki mereka mendapat parut kekal akibat digigit pepijat menerima pampasan AS$1,593,500 (RM6.2 juta) selepas juri awam di Alhambra, Isnin lalu mengarahkan pemilik apartmen tempat mereka tinggal membayarnya.

Lilliana Martinez, 34, memberitahu The New York Times, mereka menyedari ada bintik merah di seluruh badan termasuk muka anak lelakinya berusia tiga tahun, Jorge Maravilla pada 2012, dua tahun selepas berpindah ke apartmen Amusement Six di Inglewood, California.

Bimbang dengan perkara itu, mereka mendapatkan rawatan di hospital di mana doktor mengesahkan ia kesan gigitan pepijat dan meminta pasangan itu memeriksa serangga perosak di rumah mereka.

Dia dan suaminya ada memaklumkan serangan pepijat itu kepada syarikat pengurusan apartmen berkenaan, Westland Industries dan diarahkan membuang semua perabot termasuk katil bayi. Syarikat itu juga menghantar pekerja untuk membersihkan apartmen berkenaan.

Bagaimanapun mereka terus diserang dan membuat beberapa lagi aduan. Akhirnya selepas hampir empat bulan syarikat pengurusan membuang permaidani di apartmen itu dan berjaya menamatkan serangan pepijat.

Tambahnya, anak perempuan mereka yang berusia tiga bulan ketika itu turut mempunyai kesan gigitan pepijat dibelakang badannya.

Mereka tinggal di situ selama dua tahun sebelum berpindah pada 2014. Baru-baru ini mereka memfailkan saman terhadap apartmen terbabit kerana tidak menjamin keselamatan penghuni.

Menurut peguam mereka, Brian Virag kepada The New York Times, jumlah itu yang tertinggi pernah dibayar kepada satu keluarga akibat kes itu di Amerika Syarikat.

Virag sebelum ini pernah memenangi kes yang membenarkan pampasan sebanyak AS$3.5 juta (RM13.54 juta) dibayar kepada penduduk di kompleks apartmen di Los Angeles yang diserang pepijat. 

Sumber - Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com