Paha Melimpah: “Janganlah Sentap!” – Anak TPM


PETALING JAYA - Komen pedas pengkritik gaya, Zaihani Mohd Zain mengenai berat badan bukan sahaja mengundang kecaman netizen, malah penggiat industri fesyen tempatan.

Namun, bukan semua dihujani dengan kecaman kerana ada yang mengambil kritikan Zaihani atau lebih dikenali sebagai Kak Zai itu dari sudut yang positif.

Anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah, 39, mendedahkan berat badannya pernah mencecah 100 kilogram (kg) dan berpakaian saiz XXL.

Nurul yang beratnya pernah mencapai 58kg memberitahu, bentuk badan bukan menjadi ukuran kerana apa yang penting adalah minat, keinginan dan tahu berfesyen.


“Dipendekkan cerita, semua manusia ada khilaf. Mungkin niat Kak Zai untuk menegur satu orang itu dan yang lain terasa. Saya pernah berada dalam situasi Kak Zai. Kita ikhlas menegur tetapi bukan semua boleh menerima teguran. Apapun, Kak Zai… sama-sama kita ambil ini sebagai pengajaran dan iktibar,” katanya menerusi posting di akaun Instagram, Selasa malam.

Pada pagi Rabu, Nurul turut memuat naik gambarnya semasa berbadan gemuk seberat 100kg dan sekurus 58kg di laman sosial Instagram.

Nurul ketika dihubungi mStar Online memberitahu beliau tidak sedikit pun tersinggung dengan kenyataan Kak Zai meskipun dia kini berada dalam kelompok ‘60kg ke atas’.

Semasa beratnya 100kg, beliau masih mempunyai ramai kawan, bagaimanapun ia menyebabkan dirinya terbatas untuk melakukan aktiviti tertentu kerana berat dan bentuk badannya ketika itu.

“Netizen ni ada macam-macam orang, pemikiran dan penerimaan mereka juga berbeza-beza. Tapi apa yang lebih penting adalah mengambil sesuatu kritikan itu dari sudut positif.

“Maksudnya, janganlah ambil serius sangat dengan apa yang seseorang itu kata atau kutuk. Dan kita tak boleh nak puaskan semua orang. Sepatutnya kita pandang diri kita, sama ada mahu berubah kepada yang lebih baik.

“Kalau kita asyik fikir apa yang orang lain kata sehingga berfikiran negatif, itu maksudnya kita tak boleh ‘move on’ dan susah untuk maju dan berjaya,” katanya sambil menambah beliau tidak mengenali Kak Zai secara peribadi.


Sehubungan itu, Nurul menasihatkan masyarakat supaya tidak mempedulikan kritikan yang berbaur negatif, sebaliknya berusaha untuk memajukan diri mereka.

Sama ada mahu menjadi cantik atau kurus, apa yang lebih penting baginya adalah keperibadian mereka yang seharusnya ditonjolkan secara positif agar disenangi.

“Kalau orang kata kita buruk atau gemuk, janganlah sentap! Buat apa nak fikir apa orang lain kata, yang penting kita ada keluarga dan teman-teman yang sayang dan sokong kita. Itu lebih membahagiakan.

“Sama ada orang itu cantik, buruk, kurus atau gemuk, itu semua boleh diubah. Yang kekal adalah perangai kita. Kalau kita cantik atau kurus pun, tapi kalau perangai kita buat orang tak senang dengan kita apa gunanya. Jadi, fikirlah yang positif!,” katanya.

Status Kak Zai di laman sosial Facebook peribadinya mengundang kontroversi apabila mengkritik individu berbadan besar.

"Kalau berat badan melebihi 60 kilogram, tak payahlah datang sebabnya paha awak tu melimpah kat kerusi sebelah kiri dan kanan awak.

"It's so awkward and uncomfortale for the persons seated next to you (Ia nampak janggal dan tidak selesa bagi mereka yang duduk bersebelahan anda)," tulisnya di Facebook, dipercayai mempunyai kaitan dengan kehadiran individu berbadan besar pada majlis pertunjukan fesyen.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com