Padah Pasang Bendera Politik Di Talian Elektrik Voltan Tinggi, 4 Terpelanting Kena Renjatan


TINDAKAN sekumpulan 10 lelaki memasang bendera parti politik berhampiran talian elektrik bervoltan tinggi di Kampung Parit Yusof, Muar membawa padah apabila empat daripada mereka terkena renjatan elektrik, semalam.

Dalam kejadian dipercayai berlalu pada 1.30 pagi itu, kumpulan lelaki terbabit dikatakan cuba memacak tiang buluh untuk dipasang dengan bendera parti politik.

Difahamkan, empat mangsa berusia 20-an hingga 40-an terbabit dipercayai sedang mengangkat tiang buluh berkenaan sebelum secara tiba-tiba berlaku renjatan kilat hingga menyebabkan mereka terpelanting.

Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki dilaporkan parah apabila patah tulang rusuk, manakala tiga lagi cedera ringan.

Semua kemudian mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan masih melakukan siasatan.

Sebelum ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan menasihatkan semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) supaya tidak memasang bahan kempen di tempat berisiko terkena renjatan elektrik.

Ia termasuk tidak meletakkan atau mengantung bendera dan sepanduk parti di tiang, kabel, peti pembekal, pencawang serta pepasangan elektrik lain.

Ini kerana perbuatan itu boleh mengundang bahaya jika mengabaikan keselamatan sekali gus berisiko terkena renjatan elektrik. 

Sumber – myMetro Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com