Orang Tengah Punca Harga Barang Naik, Bukan GST


BAGAN DATUK — Kenaikan harga barang bukan berpunca daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebaliknya berpunca daripada tindakan orang tengah atau ‘kartel’ yang memanipulasi harga bagi memperoleh keuntungan berlebihan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang telah bersidang dan dipengerusinya sebanyak dua kali baru-baru ini mendapati tindakan golongan tersebut memanipulasi harga barang telah menyebabkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Memang benar ada kenaikkan kos pengeluaran, kenaikan disebabkan pengimportan, kenaikkan disebabkan berlakunya pertukaran wang asing kerana ketika itu wang kita agak rendah berbanding nilai mata wang AS, tetapi sekarang ini nilai mata wang kita telah meningkat. Tapi kenapa harga barangan tidak turun ?

“Ertinya kartel mainkan peranan (sebagai) orang tengah mengambil margin banyak. Saya tak mahu bermusuh dengan mereka tetapi saya mewakili rakyat minta kartel atau orang tengah jangan salahkan kerajaan dan jangan jadikan rakyat mangsa dan meracuni fikiran mereka untuk membenci kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan kedai serbaneka ProMart Bagan Datuk dan melancar program kos sara hidup di Hutan Melintang di sini petang semalam. -Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com