'Orang Minyak' Heret, Cekik Anak Dara Di Kubang Kerian


KOTA BHARU - Penduduk khususnya golongan wanita sekitar Pengkalan Demit dekat Kubang Kerian di sini, diselubungi ketakutan dengan kehadiran 'orang minyak' yang didakwa mencetuskan gangguan sejak sebulan lalu.

Kejadian terbaru jam 9 pagi semalam, apabila seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dipercayai diganggu orang minyak ketika sedang menyidai pakaian di belakang rumah.

Remaja terbabit mendakwa dicekik pada leher sebelum diikat dengan tali di bahagian kaki, tangan dan perut, selain ada kesan minyak hitam di leher dan kaki mangsa.

Mangsa, Nik Anis Ashira Kamarulzaman, 17, berkata kejadian berlaku ketika dia sedang menyidai pakaian di luar rumah, sebelum ditarik seseorang dari arah belakang dan dibawa ke ruang tamu rumah.


"Saya bagaikan dipukau dan ditarik individu yang tidak dikenali itu ke ruang tamu. Saya hanya tersedar selepas dicekik di leher manakala kaki, tangan dan perut diikat dengan tali.

"Saya menjadi sesak nafas akibat jerutan kuat tali di bahagian perut dan hanya mampu menangis serta menjerit minta tolong sebelum kelibat itu melarikan diri menerusi tingkap dapur," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Nik Anis Ashira berkata, jirannya datang membuka ikatan dan menghubungi ayah serta adik lelaki yang sedang bersarapan di sebuah kedai makan berhampiran rumah.

Sementara itu, bapa mangsa, Kamarulzaman Mat Yunus, 44, mendakwa rumahnya diganggu orang minyak sejak sebulan lalu.

"Kami penduduk kampung berjaga, mengepung dan melakukan sembahyang hajat, namun orang minyak ini tetap mengganggu.

"Sekurang-kurangnya empat rumah kampung ini menjadi mangsa balingan batu hingga menyebabkan cermin tingkap pecah.

"Ada penduduk mendakwa melihat kelibat orang minyak melakukan kejadian itu, namun usaha menangkapnya tidak berjaya," katanya.

Mangsa dalam proses untuk membuat laporan polis untuk tindakan lanjut

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com