Orang Kuat PAS Puji Calon BN


KUALA TERENGGANU - Walaupun dianggap seperti musuh kerana berbeza fahaman dan parti politik, orang kuat PAS dan juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, memuji calon Barisan Nasional (BN).

Mohd Abdul Wahid yang tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Wakaf Mempelam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kagum dengan ketokohan dan keperibadian calon Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Secara peribadi pada pandangan saya beliau (Wan Nawawi) sangat bagus. Beliau menyapa dengan mesra dan tidak hirau perbezaan ideologi politik kami.

"Dalam politik kami seperti musuh, tetapi di luar kami umpama sahabat," katanya yang ditemui pada proses penamaan calon Parlimen Kuala Terengganu dan empat Dewan Undangan Negeri di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Mohd Abdul Wahid turut memuji langkah BN meletakkan dua wanita sebagai calon pada PRU kali ini dan menyifatkan ia keputusan bijak untuk mengangkat wanita sebagai calon.

Parlimen Kuala Terengganu dan empat DUN, iaitu Wakaf Mempelam, Bandar; Ladang dan Batu Buruk akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan PKR.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com