Nik Omar Masih Lagi Ahli PAS, Dinafi Sertai PAN


KUALA LUMPUR – Anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz, masih lagi menganggotai parti itu, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan semalam.

“Setakat yang saya tahu, saya tak pernah dengar Nik Omar isytihar masuk parti lain.

“Dalam perlembagaan PAS, apabila anda umum menyertai parti lain, secara automatik anda terkeluar daripada parti, tak perlu pecat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Takiyuddin berkata beliau juga tidak pernah mendengar Nik Omar bercakap mengenai perkara yang bercanggah dengan perlembagaan PAS.

Beliau mengulas mengenai kedudukan Nik Omar yang dilaporkan beberapa media tempatan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 atas tiket Parti Amanah Negara (PAN) iaitu parti serpihan PAS.

Media turut melaporkan Nik Omar dipetik sebagai berkata bahawa Pakatan Harapan berpeluang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Sementara itu, Takiyuddin mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu yang dimenanginya ketika PRU ke-13 pada 2013.

Beliau berkata PAS juga yakin rakyat Kelantan akan tetap memberi mandat kepada PAS berdasarkan prestasi yang ditunjukkan selama ini.

“Tak ada ‘riak-tiak’ mereka nak tukar kerajaan, tak ada sebab. Berdasarkan kajian kita, kita boleh lihat gelombang sokongan dalam kalangan rakyat Kelantan. Mereka terus sokong kerajaan negeri pimpinan PAS,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com