Nidzam Turunkan Pemain Simpanan Bertemu Perlis


ALOR SETAR - Pasukan Kedah terus mengatur strategi dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Perlis jam 5 petang di Stadium Darul Aman pada  6 April ini.

Menurut Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, dia akan menurunkan beberapa pemain simpanan yang selama ini tidak diturunkan dalam aksi liga Malaysia yang bermula sejak Februari lalu.

Jelasnya, peluang ini diberikan kepada pemain simpanan bagi membuktikan kemampuan masing-masing dalam bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

"Saya yakin suasana penuh semangat dan harmoni sewaktu latihan, kini mampu memberi anjakan baru buat pasukan Kedah dalam misi meningkatkan prestasi pasukan yang masih mencari rentak sebenar," katanya memetik BH Online. 

Nidzam, yang menggantikan Ramon Morcote juga mengakui Kedah perlukan motivasi untuk bangkit semula mencapai prestasi sebenar seperti musim lalu. 

"Selepas tersingkir dari kancah saingan Piala FA  dan sekadar mencatat dua kemenangan dalam Liga Super, saya mahu setiap pemain fokus untuk bangkit semula dengan penuh semangat untuk mencapai tahap prestasi terbaik Kedah.

"Kita ada tempoh 11 hari lagi sebelum bertemu  pasukan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Darulaman, dan kita akan gunakan masa ini sebaik mungkin dalam usaha membentuk dan mengembalikan kekuatan pasukan.

"Kita akan beri penekanan terutama di bahagian pertahanan yang menyaksikan kita telah bolos 12 gol dalam lima perlawanan sebelum ini dan ia jumlah yag besar berbanding pasukan lain," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com