Nidzam Puji Pemain Tempatan Kedah


KUALA TERENGGANU - Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff memuji persembahan pemain tempatannya yang memperagakan aksi terbaik sehingga wisel penamat dalam aksi Liga Super bertemu Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Malah Nidzam juga gembira apabila pemainnya berjaya merantai rangkaian penyerang skuad Penyu yang diketuai Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Suzuki sehingga mereka gagal bergerak bebas hingga tamat perlawanan. 

"Saya begitu berpuas hati dengan persembahan pemain kerana mereka mempamerkan aksi bertenaga dan beraksi cemerlang sebagaimana yang dirancang serta mengikut arahan iaitu tidak meninggalkan posisi masing-masing biarpun diasak di segenap penjuru.

"Selain itu pemain juga dilihat bersabar biarpun ketinggalan dengan satu jaringan pada babak pertama perlawanan sebelum bangkit menyamakan kedudukan 1-1 pada babak kedua sekali gus berjaya mengutip satu mata," kata Nidzam. 

Dalam perlawanan itu skuad TFC kendalian Irfan Bakti Abu Salim terlebih dahulu memperoleh jaringan menerusi rembatan kencang J Partiban dari luar kotak penalti pada minit ke-43 babak pertama perlawanan. 

Bagaimanapun pada minit ke-63 skuad Helang Merah itu berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi arkiteknya, Baddrol Bakhtiar sekali gus berjaya mengumpul 10 mata dalam carta liga daripada tujuh perlawanan.

Mengulas mengenai tindakannya yang hanya menurunkan tiga pemain import pada babak pertama dan dua pemain import pada babak kedua, Nidzam yang dibantu penolongnya, Azzmi Abd Aziz mengakui mempunyai strateginya yang tersendiri biarpun sedar skuad Penyu membariskan lima tonggak importnya.

"Jika boleh memang saya mahu menggunakan khidmat semua pemain import tapi dengan masalah kecederaan dan prestasi yang tidak konsisten menyebabkan saya memasukkan pemain tempatan. 

"Penyerang Pablo Pallares tidak diturunkan pada malam ini dan diletakkan dalam senarai pemain simpanan kerana faktor prestasi manakala Liridon Krasniqi mengalami sedikit kecederaan. 

"Bagaimanapun aksi yang tidak mengecewakan daripada pemain tempatan saya ucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya mengekang asakan pasukan lawan apatah lagi mereka berjaya memberikan persembahan yang cukup menarik," kata Nidzam yang mengakui sasaran untuk mengutip satu mata berhasil. 

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com