Nawawi Dicabar Mahathir Dan Zubir Di Parlimen Langkawi


LANGKAWI - Kerusi Parlimen Langkawi bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pas dan gabungan pembangkang PKR.

Penyandang kerusi Parlimen tersebut, Datuk Ir Nawawi Ahmad akan dicabar oleh calon gabungan pembangkang PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan wakil daripada Pas, Zubir Ahmad.

Dalam masa sama, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan Kuah turut menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN, Pas dan gabungan pembangkang PKR.


Nawawi tiba di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi di sini, bersama calon BN bagi kerusi Ayer Hangat serta Kuah iaitu Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid dan Nor Saidi Nanyan

pada pukul 8.50 pagi ini dengan diiringi ribuan penyokong mereka.

Bagi kerusi DUN Ayer Hangat, Mohd. Rawi sebagai penyandang akan dicabar oleh

Johari Bulat yang mewakili gabungan pembangkang PKR dan Azlina Azinan dari Pas.

Kerusi DUN Kuah pula menyaksikan persaingan empat penjuru antara Nor Saidi juga sebagai penyandang dengan

Mohd. Firdaus Ahmad (gabungan pembangkang PKR), Mazlan Ahmad (Pas) yang membuat kemunculan semula di kawasan itu selepas 14 tahun dan calon Bebas, Mohd. Ratu Mansor.

Selain itu, dengan kembalinya Dr. Mahathir ke gelanggang pilihan raya selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri lebih dua dekad lalu telah menjadikan Pengerusi gabungan pembangkang PKR yang berusia 93 tahun itu sebagai calon paling tua dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Langkawi, Muhamad Arof Darus mengumumkan tempoh pencalonan tamat pada pukul 10 pagi.

Muhamad Arof kemudiannya membuat pengumuman senarai calon yang bertanding pada pukul 11.45 pagi selepas berpuas hati dengan semua borang pencalonan.

Pada PRU-13, Nawawi berjaya menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dan calon Bebas, Marina Hussein dengan majoriti besar sebanyak 11,861 undi.

Dalam pilihan raya itu juga, Mohd. Rawi dan Nor Saidi masing-masing turut mencapai kemenangan bergaya dengan menewaskan calon Pas, Zubir Ahmad (Ayer Hangat) dan PKR, Datuk Ahmad Kasim selain calon Bebas, Zaflee Pakwanteh (Kuah) dengan majoriti lebih 5,000.

Sumber: Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com