Najib Minta Ahli Parlimen BN Setia Kepada Parti


PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Razak semalam mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasmi Perdana Menteri, di Seri Perdana hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata pertemuan itu banyak menyentuh mengenai kekeluargaan dalam parti, semangat setia kawan dan wala'.

"Kami sebagai keluarga BN perlu memegang prinsip wala', pertemuan tadi bersama Ahli Parlimen BN dan perjumpaan itu diadakan secara beramai ramai," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, Najib turut mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang sudah berkhidmat dengan baik.

"Beliau beritahu ada yang naik, ada yang turun, ada yang dicalon, ada yang tidak. Sama-sama kita adalah saudara dan keluarga," katanya yang juga penyandang kerusi Ahli Parlimen Santubong.

Timbalan Ketua Wanita, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pertemuan hari ini banyak menyentuh mengenai pentingnya menjaga hubungan kekeluargaan dalam parti.

"Kita satu keluarga yang besar. Macam pesanan mak ayah kita, kita ada adik-beradik yang ramai. Jadi, jika ada yang terlebih tumpuan atau ada yang tak kena, jangan berkecil hati," katanya.

Ditanya sama ada isu pencalonan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) turut disentuh dalam pertemuan itu, Rohani berkata, ia tidak dibincangkan.

Sementara itu, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan berkata, amanat diberikan Perdana Menteri ialah untuk menjaga BN.

"Ucapan diberikan sangat ringkas, meyakinkan dan menanam semangat BN tidak kira dilantik sebagai calon atau tidak, kita mesti bersama BN.

"Selain itu juga, Perdana Menteri turut meminta kami mempertahankan parti dan BN demi kebaikan negara. Semua yang hadir gembira sebab ia menanam sifat kekitaan dalam diri ahli BN, caranya itu (mengadakan pertemuan) sangat bagus," katanya.

Ditanya mengenai kerusi Cameron Highlands, Saravanan berkata, pertemuan berkenaan tidak sedikit pun berbincang mengenai PRU-14.

Pertemuan bersama Pengerusi BN itu diadakan pada jam 9 pagi dan berakhir kira-kira sejam selepas itu.

Najib kemudiannya dilihat keluar dari Seri Perdana menggunakan kenderaan rasminya pada jam 11.30 pagi.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com