Najib Letak Batu Asas Pembinaan Hospital Pendang


PENDANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan upacara meletakkan batu asas sebagai simbolik untuk memulakan projek pembinaan Hospital Pendang di Kampung Manggol Pauh di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail.

Dr Norhizan berkata kerja pembinaan hospital yang menelan belanja RM210,940,000.00 itu dijangka bermula Mei ini membabitkan kawasan seluas 17 hektar namun hanya lapan hektar digunakan untuk fasa pertama projek itu manakala baki selebihnya bagi perancangan masa depan.

Beliau berkata hospital itu nanti akan beroperasi sebagai hospital pakar minor yang membabitkan 10 perkhidmatan kepakaran antaranya pembedahan, ortopedik, obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta anestesiologi.

“Projek membina hospital itu dijangka siap sepenuhnya pada November 2021 dan akan mula beroperasi dengan 126 katil. Bagaimanapun, berdasarkan keluasan tanah sedia ada, ia boleh menampung hingga 250 katil pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas upacara berkenaan berkenaan.

Katanya selain itu skop perkhidmatan hospital itu termasuk pesakit luar, pesakit dalam, diagnostik dan rawatan, sokongan perubatan, sokongan bukan perubatan, pendidikan dan latihan, pengurusan dan kemudahan kakitangan serta awam.

Dr Norhizan berkata hospital itu dijangka dapat memanfaatkan lebih 112,000 penduduk daerah ini setelah siap sepenunya nanti. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com