Najib Jangka Keputusan PRU Lebih Baik


KUALA LUMPUR - Lima tahun selepas mengetuai parti yang menang tipis pada pilihan raya umum 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjangkakan "keputusan lebih baik" pada pilihan raya umum kali ini yang menyaksikan pertembungan pertama beliau menentang mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib, dalam wawancara pertamanya dengan media antarabangsa selepas lebih tiga tahun, turut membicarakan mengenai tempoh sukar ketika berhadapan skandal dana pelaburan negara yang membabitkan kerugian berbilion dolar sehingga mewujudkan pelbagai siasatan di peringkat global.

Beliau juga kini berhadapan waktu yang paling sukar dalam perjuangannya untuk mengekalkan BN mentadbir negara lebih enam dekad, dalam pilihan raya yang menjadi sangat peribadi kerana ini membabitkan pertembungan dengan lelaki yang membantunya berkuasa pada 2009, selain perebutan untuk menambat hati orang Melayu.

Sepanjang satu jam sesi wawancara di ibu pejabat Barisan Nasional di ibu negara, Najib turut membicarakan mengenai Pilihan Raya Umum pada 9 Mei, menyentuh mengenai ekonomi dengan menjanjikan lebih banyak potongan cukai pendapatan dan perniagaan jika menang pilihan raya selain isu 1MDB dan masa depan politiknya sendiri.

Najib sedang berusaha memastikan UMNO terus kekal memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Selain mengukuhkan kedudukannya sendiri, Najib kini berusaha membaiki prestasi Pilihan Raya Umum pada 2013, apabila Barisan Nasional yang diketuai UMNO kehilangan undi popular buat pertama kali dengan memenangi kerusi majoriti tipis.

Pilihan raya umum kali ini perlu dijadikan penanda aras untuk beliau dengan memenangi kerusi majoriti dua pertiga yang mana kali terakhir dicapai sedekad yang lalu.

"Kami yakin akan mendapatkan keputusan lebih baik," kata Najib, 64. "Tiada usaha untuk menukar kerajaan, saya tidak nampak. Ini tidak bermakna kami akan menang dengan majoriti besar, saya tidak mahu meramalkan begitu tetapi suka saya menyatakan kita cukup percaya dan optimis dengan keputusannya nanti.

Keyakinan Najib itu disokong dengan kedudukan Pakatan Harapan yang dilabelkan beliau sebagai "parti cacamarba" yang diketuai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir, 93, yang selama ini menjadi juara dalam perjuangan hak istimewa orang Melayu kini berjuang bersama parti terbesar orang Cina , DAP .

"Saya tidak nampak bagaimana mereka boleh bekerja sama," katanya.

Terletak di Selat Melaka, laluan global utama untuk perdagangan laut dan pintu masuk ke Laut China Selatan yang masih dipertikaikan, Malaysia adalah negara yang majoritinya beragama Islam dengan ekonomi yang tertumpu kepada komoditi dan sangat terdedah kepada perubahan dalam permintaan minyak global.

Dalam masa yang sama, Malaysia yang mempunyai masyarakat Cina dan India yang cukup besar, orang Melayu menjadi etnik terbesar yang membentuk sebahagian besar pengundi - dan mereka telah lama menjadi tulang belakang UMNO.

Sejak 2013, Najib telah berusaha untuk meningkatkan sokongan orang Melayu terutama dalam kalangan pemimpin luar bandar, dan kini sokong orang Melayu itu sangat penting untuk menangkis Dr Mahathir, yang mengaitkan beliau dengan skandal 1MDB.

Mahathir yang mentadbir Malaysia lebih 20 tahun dan terkenal dengan usaha menambat mata wang negara semasa krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an, kini memecah belahkan UMNO sejak 2016 dengan membentuk partinya sendiri untuk terus menentang Najib.

Dalam masa yang sama, Dr Mahathir berusaha untuk menguasai undi Melayu, yang mana mereka kini kebanyakan dalam kalangan petani, penjawat awam dan kumpulan berpendapatan rendah menerima bantuan dalam bentuk wang tunai daripada Najib.

Pilihan raya kali ini diwarnai dengan isu berkaitan perkauman dan agama. Susulan pengundi Cina yang meninggalkan Barisan Nasional pada 2013 menyebabkan parti komponen itu mengukuhkan sokongan Melayu terhadap parti itu.

Najib pernah menegaskan pada 2016 bahawa orang Melayu akan menjadi "pengemis" dan institusi Islam akan jatuh sekiranya pembangkang berkuasa.

Dalam temubual itu, Najib juga menjangkakan blok pembangkang terpaksa berhempas pulas selepas hilang sokongan parti Islam yang banyak membantu ketika pilihan raya pada 2013.

Najib juga berkata penduduk bandar dan pengundi Cina juga berharap ada perubahan ketika itu, kini kurang motivasi untuk terus menyokong pembangkang.

"Sekarang mereka tahu, ia (perubahan dijanjikan pembangkang) mustahil dan saya fikir mereka menyesal," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berdepan kesukaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sama ada di dalam atau luar negara.

Walaupun ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus tahun lalu dan inflasi terkawal, kos sara hidup terus meningkat, manakala rasa tidak puas hati terhadap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada 2015, semakin memuncak.

Pembangkang turut memberi fokus pada isu kehidupan harian rakyat termasuk di kawasan luar bandar, dengan mendakwa Najib gagal meningkatkan pendapatan dengan sewajarnya.

Selain itu, wujud kemarahan terhadap 1MDB yang mula disiasat oleh pihak antarabangsa sejak 2015. Najib turut dituduh menggelapkan kira-kira AS$700 juta ke akaun peribadinya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), namun dinafikan Perdana Menteri.

Beliau mendakwa wang itu adalah derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi dan kebanyakan daripadanya sudah dikembalikan. Peguam Negara turut membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Najib berkata, 1MDB berdepan masalah tadbir urus, namun "anda tidak boleh mendakwa seseorang sebagai pencuri dan sebagainya melainkan wujud bukti."

"Sudah dijelaskan, tiada sebarang salah laku. Saya tetap dengan penjelasan itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui perkara itu "menjejaskan reputasi" kepada Malaysia serta kerajaannya.

"Saya mungkin tidak memiliki model perniagaan seumpamanya, mungkin saya perlu memastikan pemantauan yang lebih rapi. Namun, kita semua belajar daripada kesilapan," katanya merujuk kepada isu 1MDB.

Sejak itu, Najib mengukuhkan kedudukannya dalam UMNO, mengurangkan perselisihan dalaman dan memecat timbalannya.

"Saya percaya kepada keperluan mewujudkan hubungan bersifat peribadi dalam parti, supaya parti akan berdiri teguh bersama saya dalam tempoh sukar. Mereka (pembangkang) tidak mampu menggugat saya kerana sokongan akar umbi amat kuat," katanya.

Menjelang PRU-14, pengkritik menuduh Najib cuba menyekat lawannya. Bulan ini, parti Dr Mahathir dihalang daripada berkempen kerana gagal menyediakan dokumen tertentu (walaupun sekatan itu kini digantung oleh mahkamah), manakala Parlimen pula meluluskan undang-undang mengekang "berita palsu", membabitkan hukuman penjara sehingga enam tahun.

Ditanya sama ada undang-undang itu boleh digunakan untuk menyekat perbezaan pandangan, Najib berkata, media sosial di Malaysia "lebih bebas daripada kebanyakan negara lain."

"Anda boleh mengkritik kerajaan, anda boleh kata kami tidak bersetuju dengan kerajaan, anda boleh kata jangan undi kerajaan, tiada masalah. Saya boleh terima," katanya. 

Sumber: Bloomberg

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com