Naik Bas Dengan Keadaan Gunting Tusuk Kepala


Beijing: Biarpun menderita sakit, seorang wanita masih kelihatan tenang apabila dia selamba menaiki bas ke hospital dalam keadaan kepala yang tercucuk gunting sedalam kira-kira 3.8 sentimeter sehingga ke bahagian otak.

Kejadian malang itu berlaku ketika Shen Xiaoying, 57, memetik daun mahogani di rumahnya di Xiangyang, wilayah Hubei dengan menggunakan gunting terbabit.

Media melaporkan, gunting itu disangkut pada batang buluh sebelum patah dan menusuk kepalanya. Memandangkan ketika itu tiada ahli keluarga di rumah, Shen terpaksa ke hospital bersendirian untuk rawatan.

Menurut Pear Video, gunting itu tertusuk kira-kira 3.8 sentimeter hingga ke bahagian otak menyebabkan dia terpaksa menjalani dua pembedahan kecil untuk mengeluarkannya.

Kecederaan ngeri itu dapat dilihat dengan jelas berdasarkan imbasan x-ray kepala wanita terbabit.

South China Morning Post melaporkan, doktor berjaya mengeluarkan gunting itu dan Shen kini semakin pulih serta dijangka keluar hospital dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Selepas pembedahan itu, dia kini mula sedarkan diri, namun masih berasa kebas dalam tempoh terdekat ini kesan daripada ubat bius yang diberi,” kata doktor.

Sumber - Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com