Nafi Tohmahan Mengenai Kad Bantuan Teksi 1Malaysia


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menegaskan tohmahan di media sosial kononnya ‘para pemandu menjadi marah selepas diberitahu Kad Bantuan Teksi 1Malaysia hanya akan diberikan selepas pilihan raya’ adalah dakwaan palsu.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis supaya penyebar berita tersebut disiasat pihak berkuasa, jika dakwaan liar itu masih berleluasa.

“Dakwaan tersebut adalah palsu kerana ribuan pemandu telah mengambil kad masing-masing selepas kad bantuan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 April di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS), malahan kesemua kad telah diaktifkan sebaik sahaja diambil pemandu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pemandu teksi tidak perlu risau kerana SPAD telah menyediakan 67,000 kad bantuan yang boleh diambil dalam tempoh tiga bulan bermula esok sehingga 16 Julai depan.

Pemandu teksi boleh mengambil kad bantuan berkenaan dari pejabat-pejabat cawangan SPAD, tertakluk kepada waktu pejabat dan hari-hari kelepasan am setempat.

Menurut kenyataan itu, tarikh dan tempat pengambilan bagi para pemandu teksi di Sabah dan Sarawak pula akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pejabat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di negeri berkenaan.

“Semua kad bantuan akan diaktifkan setelah diambil oleh pemandu teksi dan mereka boleh  membelanjakan nilai sehingga RM800 untuk pembelian petrol dan NGV di stesen-stesen Petronas di seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai Kad Bantuan Teksi 1Malaysia boleh dilayari di laman web www.spad.gov.my/ms/pengusaha-kenderaan/teksi/kad-bantuan-teksi-1malaysia. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com