Nafas Peruntuk Biasiswa RM1 Juta Pada Lepasan SPM


ALOR SETAR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memperuntukkan biasiswa sebanyak hampir RM1 juta kepada 100 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 sebagai bantuan kepada mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah di universiti tempatan.

Jelas Ahli Jemaah Pengarahnya, Datuk Ismail Umar, hanya anak ahli pertubuhan yang berpendapatan rendah tetapi cemerlang dalam SPM sahaja berkelayakan untuk menrima tawaran berkenaan.

“Disebabkan persaingan akademik semakin meningkat, ramai pelajar anak ahli Nafas yang mempunyai keputusan SPM, 6A ke atas tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.

“Melalui kolaborasi dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kita yakin impian mereka untuk menjejak kaki ke menara gading akan berjaya direalisasikan,” katanya memetik Utusan.

Tambahnya, biasiswa yang ditawar itu bakal digunakan sebagai membiayai yuran dan lain-lain kos sepanjang pengajian mereka.

Ismail yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah NMISB berkata demikian semasa hadir merasmikan majlis penutup Program Kemuncak Kerjaya 2018 anjuran anak syarikat Nafas, Nafas Modal Insan Sdn. Bhd. (NMISB) di Dewan Kolej Vokasional Sungai Petani 2, di sini kelmarin.

Turut sama hadir, Pengurus Besar NMISB, Shahrudin Mohd. Dan, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan, Yusuf Ismail dan Pengarah Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Razali Hashim.

Program tersebut mendapat penyertaan seramai 156 pelajar tingkatan lima dari 38 sekolah dalam Daerah Kuala Muda/Yan.

Selain itu, program tersebut diadakan sebagai satu usaha Nafas untuk memberi pendedahan dan membina keyakinan diri pelajar terbabit untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Melalui program ini juga kita turut membuka ruang menawarkan pekerjaan kepada pemegang biasiswa Nafas yang turut meliputi bidang kejuruteraan dan perniagaan selepas selesai pengajian mereka kelak.

“Ini merupakan motivasi yang dirancang dalam usaha Nafas mengubah taraf hidup dan sosial ekonomi keluarga mereka kelak,” katanya.

Sementara itu, beberapa bidang pekerjaan yang dijamin pihaknya kepada pemegang biasiswa Nafas ialah di kilang baja urea miliknya di Gurun dan beberapa kilang memproses makanan milik anak syarikatnya di seluruh negara. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com