Myanmar Lulus Kepulangan Ratusan Pelarian Rohingya


DHAKA - Seorang pegawai Bangladesh, berkata Myanmar sudah meluluskan beberapa ratus pelarian Rohingya daripada ribuan yang berada dalam senarai untuk kembali negara asal mereka.

Namun beliau tidak memberikan petunjuk bila proses yang tertangguh sekian lama itu akan bermula.

Bangladesh dan Myanmar, November lalu bersetuju menghantar balik tiga perempat daripada sejuta pelarian Rohingya tetapi perjanjian itu tergantung, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan satu sama lain susulan kekurangan persediaan.

Myanmar setakat ini sudah meluluskan tidak sampai 600 nama daripada senarai lebih 8,000 pelarian yang disediakan Bangladesh.

Negara miskin di Asia Selatan itu menjadi hos kepada hampir sejuta pelarian Rohingya dalam kem di sepanjang sempadan tenggaranya dengan Myanmar.

Pegawai Bangladesh yang memantau perjanjian penghantaran balik itu, Mohammad Abdul Kalam, berkata Myanmar tidak memberikan butiran mengenai bila atau jika proses kontroversi itu dijangka bermula.

"Tiada tarikh ditetapkan lagi," katanya kepada wartawan.

Ditanya bila proses itu akan bermula, Kalam berkata beliau 'tidak tahu'. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com