Myanmar Belum Sedia Terima Rohingya


YANGON - Myanmar belum bersedia menerima penghantaran pulang pelarian Rohingya, kata pegawai paling kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melawat negara itu tahun ini.

Ia berikutan dakwaan Myanmar melakukan pembersihan etnik dan mengakibatkan hampir 700,000 etnik Muslim itu melarikan diri ke Bangladesh.

"Daripada apa yang saya lihat dan dengar, tidak ada akses kepada perkhidmatan kesihatan, bimbang tiada perlindungan, tiada tempat tinggal adalah keadaan yang tidak kondusif untuk mereka kembali," kata Penolong Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Ursula Mueller, selepas lawatan enam hari ke Myanmar.

Kerajaan Myanmar berjanji untuk melakukan yang terbaik dalam memastikan penghantaran pulang di bawah perjanjian yang ditandatangani dengan Bangladesh November lalu adalah adil, bermaruah dan selamat.

Myanmar setakat ini sudah mengesahkan beberapa ratus pelarian Muslim Rohingya untuk penghantaran pulang.

"Kumpulan itu akan menjadi kumpulan pertama pelarian dan boleh kembali ke Myanmar mengikut keselesaan mereka," kata seorang pegawai Myanmar pada bulan lalu.

Mueller diberikan akses yang jarang diberikan di Myanmar, termasuk kebenaran melawat kawasan paling terjejas di negeri Rakhine, dan bertemu dengan menteri serta pihak hal ehwal pertahanan sempadan, termasuk pemimpin de facto Aung San Suu Kyi dan pegawai awam lain.

Ratusan ribu umat Islam Rohingya melarikan diri berikutan tindakan keras tentera kerajaan 25 Ogos lalu di negara barat laut Rakhine.

Pelarian Rohingya melaporkan kejadian pembunuhan, pembakaran, rompakan dan rogol, sebagai tindak balas terhadap serangan militan kepada pasukan keselamatan. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com