Mulai Januari 2019, Johor Haramkan Guna Plastik


PENGHARAMAN penggunaan plastik konvensional dan polisterina akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 oleh kerajaan Johor di negeri itu.

Lapor akhbar tempatan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata pengharaman menggunakan bahan tersebut bermula 1 Januari akan dilakukan dalam bentuk kempen kesedaran dan perubahan sikap rakyat selama setahun.

“Kita akan menggunakan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) di mana PBT boleh mengenakan denda, kompaun dan tindakan lain. Biasanya denda yang boleh dikenakan tidak melebihi RM1,000.

“Sekarang (tahun ini) kita nak beri kesedaran dahulu kepada masyarakat. Kita nak kantin, gerai atau pihak yang terbabit dalam pembungkusan makanan ini menukar daripada menggunakan plastik konvensional kepada plastik biodegradasi,” ujarnya.

Menurut Ayub Rahmat lagi, langkah itu diambil bagi mengelak berlakunya pencemaran alam sekitar yang kian meruncingkan.

Bahan plastik tidak boleh terurai dalam masa singkat kerana mengambil masa selama 150 hingga 200 tahun manakala plastik biodegradasi hanya memerlukan masa sekitar lapan hingga 18 tahun untuk terurai.

Pengumuman tersebut disampaikan selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Sempena Sambutan Hari Bumi Peringkat Johor 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani, Muar semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh dan Pegawai Daerah Muar, On Jabbar.

Terdahulu, kempen penggunaan plastik dengan menggantikan plastik biodegradasi yang lebih mesra alam sekitar telah pun di lancarkan pada awal tahun ini.

Natijahnya, kebanyakan gerai di tepi jalan telah menggunakan plastik biodegradasi yang sekali gus menjadi petanda positif dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com