Mukhriz "Lari" Bertanding Di Dun Kuah?


Susulan daripada dakwaan yang mengatakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini, anaknya, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir juga dijangka berbuat perkara yang sama.

Jika sebelum ini terdapat jangkaan yang mengatakan Mukhriz akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam atau mungkin bertanding Dun Jitra, kini timbul pula desas-desus yang mengatakan dia mungkin "lari" daripada kedua Dun itu untuk merebut kerusi Dun Kuah.

Difahamkan bahawa kemungkinan anak Mahathir itu bertanding di Dun Kuah bagi memastikan beliau boleh menang pada PRU ke-14 ini adalah berdasarkan pengaruh politik yang dimiliki bapanya di Langkawi.


Selain itu, jangkaan tersebut juga dibuat berdasarkan kecenderungan keluarga Mukhriz yang dikatakan lebih gemar untuk berada di pulau pelancongan terkenal berkenaan berbanding di tanah besar Kedah.

Ketika berjawatan Menteri Besar, isterinya, Datin Seri Norzieta Zakaria dan anak-anak Mukhriz juga dikatakan lebih gemar mengambil penerbangan terus daripada ibu negara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi berbanding Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas.

Di samping itu, Mukhriz turut dikatakan memiliki sebuah kapal layar mewah yang dihadiahkan kepada anak perempuannya dan diletakkan di salah sebuah jeti marin yang terdapat di pulau berkenaan.


Meskipun tidak dapat dipastikan sama ada Mukhriz mampu menang atau tidak sekiranya beliau bertanding di Dun Kuah, namun difahamkan "aura Mahathir" memungkinkan beliau mendapat undi daripada penyokong tegar bapanya itu.

Dun Kuah kini diwakili oleh Adun BN, Nor Saidi Nayan yang menang besar dengan majoriti sebanyak 6,371.

Nor Saidi yang memperoleh sebanyak 10,263 undi berjaya menewaskan calon PKR, Datuk Ahmad Kasim yang memperoleh sebanyak 3,892 undi dan calon bebas, Zaflee Pakwanteh, yang hilang deposit selepas mendapat hanya 117 undi sahaja.

Meskipun persepsinya Mahathir dilihat agak popular di Langkawi, namun bekas Perdana Menteri itu kini dijangka bakal menghadapi laluan sukar untuk berdepan pengundi BN yang melihat beliau sebagai "pengkhianat anak bangsa" selepas bersekongkol dengan DAP.

Sementara itu, kesungguhan Kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak untuk terus membangunkan kemudahan infrastruktur dan memastikan kebajikan orang Langkawi terbela turut mendapat pujian penduduk tempatan.

Mereka mendakwa, pembangunan kemudahan infrastruktur untuk kemudahan penduduk Langkawi itu dianggap lebih bernilai berbanding pembangunan kormersil yang dibawa Mahathir sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri itu dilihat lebih cenderung mengekspoitasi dan mengambil kesempatan atas kekayaan pelancongan Langkawi yang diagih-agihkan kepada "kroni-kroni" tertentu ketika beliau berkuasa, manakala penduduk asalnya terpaksa "berputih mata". - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com