Mukhriz Kata Mahathir Larang Anak Terima Kontrak Kerajaan? Ini Kata Anwar...


ALOR SETAR - Kenyataan Timbalan Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang mendakwa konon bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad melarang anak-anak dan kaum keluarganya mendapat kontrak kerajaan telah lama disanggah pemimpin utama PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Memetik kenyataan Anwar dalam satu ceramahnya pada Julai 2012 yang tersiar di laman sosial Youtube, bekas Timbalan Perdana Menteri yang disingkirkan Mahathir itu mendedahkan tentang kekayaan anak-anak Pengerusi PPBM itu secara terbuka.

Beliau menyenaraikan beberapa bentuk kontrak yang dikatakan telah memberi pulangan lumayan kepada anak-anak bekas Perdana Menteri itu seperti Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Dato' Mirzan Mahathir, membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Antara dakwaan Anwar ketika itu adalah membabitkan kontrak anak-anak Mahathir dengan Petronas dan MAS, melibatkan keuntungan berpuluh-puluh ribu ringgit.


Selain itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam ceramahnya turut mendedahkan kekayaan anak-anak bekas Perdana Menteri itu, selain menuduh Mahathir terlibat dengan rasuah.


Malah, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, pernah menuduh Mahathir sebagai "kepala perompak" yang meraih hasil kekayaan di negara ini.


Dalam pada itu, desas-desus turut tercetus mengenai dakwaan yang mengatakan Mukhriz juga pernah menerima kontrak lumayan daripada sebuah GLC menerusi syarikat gentian optik, Opcom Holding Berhad (OPCOM).

Meskipun telah menjual 43,600 saham dan 605,000 saham dalam syarikat berkenaan masing-masing pada 2 dan 3 Januari lalu, namun difahamkan bahawa Mukhriz masih pemegang saham terbesar dengan memiliki 40.61 juta saham atau 25.18 peratus.

Mukhriz dalam kenyataannya semalam dalam tulisannya mendakwa Mahathir kononnya melarang kaum keluarga terutama anak-anak beliau terlibat dalam politik ketika memegang jawatan Perdana Menteri, dan tidak mendapat sebarang kontrak daripada kerajaan.

"Umum sedia mengetahui prinsip Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyandang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun. Kaum keluarga, khususnya anak-anak beliau tidak boleh terlibat dalam politik, pegang sebarang jawatan kerajaan, mahupun mendapat kontrak kerajaan," tulis beliau pada perenggan pertama artikel berkenaan.

Mahathir sebelum ini dicabar ramai pihak termasuk sayap Pemuda PPBM supaya menjawab segala dakwaan berkenaan kekayaan luar biasa anak-anaknya, namun calon Perdana Menteri Pakatan Harapan itu dikatakan tetap berdolak-dalik mengenainya.

Anwar ketika dipecat Mahathir dahulu mendakwa Mahathir kuat mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran beliau, sekaligus mengagihkan kekayaan negara menerusi kontrak mega kepada kroni dan kaum keluarganya.

Walau bagaimanapun, segala dakwaan tersebut belum terbukti kebenarannya ekoran tidak ada mahkamah yang mensabitkan kesalahan atau menjatuhkan hukuman berhubung dakwaan-dakwaan berkenaan sehingga kini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com