Mukhriz Dakwa Kerajaan Tidak Ada Kemampuan Kewangan Untuk Tunai Janji BN


Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir percaya janji yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan dapat ditunaikan sekalipun BN akan menang pililhan raya umum ke-14 ini.

Ia merupakan janji kosong kerajaan menjelang PRU14 sedangkan kerajaan tidak mempunyai kewangan yang kukuh, kata Mukhriz.

" Dekat PRU ini kita dengar bermacam janji, sedangkan janji pada PRU13 juga masih belum ditunaikan," dakwanya ketika  berucap pada majlis Jelajah Pakatan Harapan di Serdang, Kedah malam tadi.

Mukhriz mengulangi dakwaan itu kerana banyak peruntukan untuk kementerian telah dipotong, temasuk Kementerian Kesihatan hingga ubat-ubatan di hospital tidak mencukupi dan terpaksa dibeli oleh pesakit di farmasi. 

Sementara itu bekas Menteri Besar Kedah itu juga meramalkan kerajaan akan menaikkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) daripada 6 peratus sekarang ini kepada lapan hingga 12 peratus selepas menang PRU14.

Tidak menjelaskan sumber kewangan untuk mengganti GST, Mukhriz berkata Pakatan Harapan akan menghapuskan sistem percukaian itu jika parti itu diberi peluang memerintah.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kehebatan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menyifatkannya sebagai calon Perdana Menteri terbaik jika Pakatan Harapan berjaya mengambil alih Putrajaya pilihan raya umum ini.

Menurut Mukhriz, pengalaman Dr. Mahathir sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri berjaya membangunkan negara sukar untuk ditandingi oleh pemimpin yang lain.

Bagaimanapun Mukhriz tidak pula menyentuh faktor usia Dr. Mahathir yang akan menjangkau 93 tahun dan keadaan kesihatan bapanya yang kini dipertikaian oleh banyak pihak.

Beliau turut mencabar Barisan Nasional supaya menamakan Perdana Menteri baharu jika kerajaan BN terus berkuasa  selepas PRU14 seperti mana yang dilakukan oleh PH.- Kedahnews.com.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com