Mukhriz "Bourgeoisie", Mungkin Gagal Selami "Proletariat" Macam Kita


SUNGAI PETANI - Bekas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir sepatutnya bijak mengemudi Kerajaan Negeri dengan menyediakan perancangan dan pelaksanaan sistematik untuk membangunkan negeri Kedah.

Sebagai anak kepada bekas Perdana Menteri, beliau dilihat sepatutnya tahu memimpin Kerajaan Negeri dan merencanakan pelbagai bidang bagi memenuhi keperluan sebenar rakyat di negeri ini.

Namun begitu, Mukhriz dilihat gagal memahami mahupun melaksanakan tanggungjawab tersebut dan keadaan itu amat dikesali oleh Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataannya di sini, semalam.

"Dua setengah tahun Mukhriz sebagai Menteri Besar di sini, dia yang sepatutnya buat. Dia pun tak buat.

"Tapi dia sendiri pun tidur selama dua tahun setengah, kemudian selepas jadi pembangkang pun dia hentam kerajaan," kata Mahdzir kepada Kedahnews.com di sini, semalam. 

Mukhriz sebelum ini berkuasa sebagai Menteri Besar selama hampir tiga tahun namun dikritik hebat oleh rakyat Kedah, termasuk Dato' Mahfuz Omar yang menggelar beliau sebagai "Mat Blur" ketika mengemudi Kerajaan Negeri.


Berbanding penggantinya, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang baru saja mentadbir negeri kira-kira dua tahun,  namun telah banyak melaksanakan pelbagai dasar kecil namun berkesan dan amat membantu rakyat di negeri ini khususnya dalam soal kebajikan dan meringankan beban kos sara hidup.

Mengulas lanjut, Mahdzir menjelaskan bahawa negeri Kedah amat dahagakan pembangunan dalam pelbagai sektor khususnya melibatkan bidang sosio-ekonomi seperti pelaburan dalam sektor Industri Teknologi Tinggi di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Selain itu katanya, Kedah juga memerlukan pembangunan daripada sudut pelancongan di Langkawi dan sebagainya, pembangunan ekonomi di kawasan baharu seperti di Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam.

Kata beliau, sektor pertanian yang merupakan bidang utama negeri ini juga memerlukan nafas baharu yang perlu dititikberatkan bagi memastikan ia terus menjana pendapatan yang lebih baik bagi para petani di negeri Kedah.

"Kita perlu kreatif dan memangkin inovasi. Contohnya Rubber City di Padang Terap. Anggaran sekitar RM400 juta. Maksud saya, ada aktiviti yang sedang diuruskan oleh kita sekarang," katanya bekas Menteri Besar Kedah itu.

Namun jelasnya, meskipun Mukhriz diberi peluang selama kira-kira dua tahun setengah sebelum ini, beliau gagal melaksanakan tugas itu dengan baik.

Jelas Mahdzir, pembangunan di negeri Kedah memerlukan hubungan baik di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, namun anak bekas Perdana Menteri itu gagal memanfaatkan keadaan itu ketika mengetuai Kerajaan Negeri sebelum ini.

Katanya, kemungkinan kegagalan itu adalah disebabkan status Mukhriz yang dilihat sebagai golongan aristokrat atau "bourgeoisie", yang secara tidak langsung gagal memahami keperluang golongan "proletariat" atau marhain seperti Menteri-Menteri Besar Kedah yang lain.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah itu berkata demikian dalam sidang akhbar sejurus melawat Sekolah Kebangsaan Sidam Kiri, di sini, semalam. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com