Mukhriz Bakal Tewas Mengejut, "Lemas" Di Dun Ayer Hitam?

ADUN Ayer Hitam, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir dijangka tewas mengejut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kali ini sekiranya beliau masih cuba untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya atas tiket UMNO di Dun tersebut.

Perkembangan terkini di Dun berkenaan menyaksikan sokongan terhadap beliau kini hanya melibatkan beberapa pengikut tegarnya dan penyokong parti sekutu beliau yang segelintir bilangannya daripada Parti Amanah Negara (PAN), PKR dan DAP di kawasan itu.

Sementara itu, ramai ahli dan penyokong UMNO di kawasan berkenaan difahamkan telah nekad untuk tidak memberi undi kepada Mukhriz ekoran beliau dikatakan tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik ketika mengemudi UMNO mahupun sebagai Adun.

Selain itu, PAS juga dikatakan telah mengumpul kekuatan untuk memenangi Dun Ayer Hitam selepas tewas dengan majoriti 2,446 undi.

Mukhriz yang mewakili BN ketika itu memenangi kerusi tersebut apabila memperoleh sebanyak 14,083 undi mengatasi calon PAS, Abd. Ghani Ahmad yang mendapat sebanyak 11,637 undi.

Namun begitu, punca utama Mukhriz dikatakan bakal tewas jika bertanding di Dun Ayer Hitam adalah disebabkan dirinya sendiri yang didakwa gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik dan kurang peduli tentang hal ehwal kebajikan penduduk di kawasan itu.

Pencapaian Mukhriz dikatakan tidak sebaik bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak yang sebelum ini berjaya menyelenggara jalan raya di sekitar Sungai Limau dengan baik dan sering turun padang bertemu serta mengambil tahu tentang kebajikan rakyat.

Di samping itu, kenyataan Mukhriz baru-baru ini yang mahu calon Pakatan Harapan supaya berasal, menetap dan tinggal di Dun yang ditandingi pada PRU ke-14 ini "memakan diri" memandangkan beliau tidak mempunyai kriteria tersebut.

Mukhriz ketika menjadi Ahli Parlimen Jerlun dan kemudian Adun Ayer Hitam merangkap Menteri Besar dikatakan bukan saja tidak tinggal di kawasan itu, malah beliau dan keluarganya juga menetap di ibu negara selain hampir setiap minggu berulang-alik dengan kapal terbang serta jet peribadi.

Terdapat juga kritikan yang mengatakan Mukhriz hanya popular gara-gara beliau merupakan anak Perdana Menteri paling lama berkuasa, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan hanya "meminjam" aura daripada bapanya itu untuk meraih sokongan orang ramai.

Sebagai contoh, ketika bertanding mewakili BN di Parlimen Jerlun mahupun di Dun Ayer Hitam kemudiannya, Mukhriz terpaksa mengharapkan pertolongan bapanya untuk turun berkempen bagi membantu kemenangannya.

Malah, desas-desus mengatakan bapanya selain berceramah di beberapa lokasi di sekitar kawasan itu turut bertemu dengan beberapa "orang lama" dan "kepala masam" untuk memohon restu meminta agar anaknya disokong.

Ketika menjadi Menteri Besar, Mukhriz turut dikatakan tidak tahu mentadbir negeri ini dengan baik dan gagal memahami keperluan rakyat, malah turut digelar sebagai "Mat Blur" oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar, yang kini bersama dengan PAN.

Namun begitu, setelah tersingkir daripada UMNO, Mukhriz sanggup bersekutu dengan Mahfuz dan para pemimpin DAP, PKR serta PAN yang puas dikutuk beliau dan bapanya selama puluhan tahun sebelum ini.

Rata-rata masyarakat di Dun Ayer Hitam dilihat majoritinya menyokong BN dan PAS, sekali gus menyaksikan calon yang bakal mewakili Pakatan Harapan di kawasan itu berada di dalam keadaan "tersepit" di antara pertembungan tiga penjuru nanti. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com