MRT Tingkat Daya Hidup Di Greater Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR - Kejayaan projek perkhidmatan tren Transit Aliran Massa (MRT) pertama negara, membuktikan Malaysia mengambil langkah besar dalam menaik taraf rangkaian pengangkutan awam ke arah usaha meningkatkan daya hidup di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Jajaran pertama MRT dari Sungai Buloh ke Kajang (SBK) yang dilancarkan pada 17 Julai tahun lalu, siap dua minggu awal daripada tarikh dijadualkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika melancarkan laporan Program Transformasi Nasioanal (NTP) 2017, bulan lalu berkata, kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sudah banyak membantu meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan bandar.

Beliau menyifatkan kejayaan menyiapkan projek itu lebih awal daripada tempoh ditetapkan adalah pencapaian terbesar dalam usaha kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup dan jaringan hubungan di Kuala Lumpur serta Lembah Klang.

"Penyempurnaan pembinaan MRT ini turut menggambarkan pengurusan serta pengoperasian projek yang cemerlang hingga membolehkan ia disiapkan tepat pada masa, bawah daripada bajet yang diperuntukkan.

"Jajaran sepanjang 51 kilometer itu memenuhi keperluan lebih 1.2 juta penduduk yang tinggal di sepanjang koridor 
Buloh-Kajang.

"Ia menawarkan faedah yang signifikan kepada orang ramai dengan mengurangkan perbelanjaan isi rumah ke atas pengangkutan, masa perjalanan serta kesesakan lalu lintas di kawasan laluan kereta api," katanya.

Ketika ini, laluan kedua MRT dari Sungai Buloh-Serdang- Putrajaya (SSP) sudah 12 peratus siap dan dijangka akan memulakan operasi penuh pada 2022.

Kedua-dua laluan MRT ini dijangka mampu menampung keperluan sehingga 900,000 pengguna setiap hari.

Laporan NTP sebelum ini menyebut Kuala Lumpur berada di tangga kedua dalam senarai bandar yang paling berdaya huni di Asia Tenggara. Ketika ini, Kuala Lumpur berjaya menarik penyertaan 73 syarikat multinasional dengan menyediakan 10,971 peluang pekerjaan sejak 2011.

Selain itu, dalam meningkatkan kehidupan rakyat, kerajaan turut melaksanakan usaha mengindahkan sungai sekitar kawasan bandar.

"Rantau ini juga terus mencatat kemajuan menerusi projek ikonik lain iaitu Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL).

"Ia bagi membersih dan mencantikkan lapan sungai bermatlamat mempertingkatkan kemampanan alam sekitar, selain menarik pelaburan, seterusnya memastikan kualiti hidup lebih baik di dalam dan sekitar ibu negara.

"Projek RoL turut diberi Anugerah Kecemerlangan oleh Persekutuan Antarabangsa Arkitek Landskap di bawah kategori Landskap Kebudayaan dan Urban Landskap pada Anugerah Seni Bina Landskap Asia-Pasifik 2017," kata Najib.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com