MRA Kedah, P.Pinang Hantar Bantuan Kepada 56 Pelarian Rohingya


ALOR SETAR - Malaysian Relief Agency (MRA) cawangan Kedah dan Pulau Pinang telah menghantar bantuan kecemasan serta perubatan kepada 56 pelarian Rohingya yang sedang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik, Kedah.

Kumpulan pelarian terdiri daripada 36 orang dewasa dan 20 kanak-kanak berumur bawah 15 tahun itu ditahan di depoh berkenaan selepas bot dinaiki mereka ditemui pihak berkuasa pada kedudukan 0.1 batu nautika dari Pulau Nyior Setali berhampiran Pulau Tuba, 3 April lalu.

Menurut Setiausaha Agung MRA, Dr Shahrizal Azwan Samsudin, pelarian tersebut tiba dengan menaiki bot kayu selepas bergadai nyawa merempuh perjalanan laut selama 23 hari dari Rakhine, Myanmar.

Jelasnya, misi bantuan itu diketuai oleh Pengerusi MRA Kedah, Dr Mohd Saifullah Al Hany Abd Halim, membabitkan 16 petugas meliputi empat doktor perubatan, empat jururawat dan seorang jurubahasa Rohingya.

"MRA menjalankan pemeriksaan saringan kesihatan dan memberi rawatan perubatan serta vaksinasi bagi mengelakkan jangkitan.

"Pemeriksaan kesihatan mendapati kebanyakan pelarian Rohingya itu berada dalam keadaan malnutrisi, lesu, dehidrasi dan dijangkiti penyakit salur pernafasan.

"Selain itu, ada juga penyakit jangkitan kulit seperti scabies (kudis buta), jangkitan kulat dan jangkitan kutu rambut akibat kurang penjagaan kebersihan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi meningkatkan keperluan nutrisi pelarian itu, Dr Shahrizal Azwan berkata, MRA mengagihkan multivitamin kepada semua individu berkenaan dan pek susu tepung untuk kanak-kanak.

"Sumbangan lain diserahkan ialah pek kebersihan, makanan kering dan tuala wanita," katanya memetik BH Online.

Selain itu, MRA juga menyampaikan bantuan bagi pihak badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Persatuan Persaudaraan Muslimah (SALIMAH) dan BLESS, kepada pelarian di depoh itu.

Beliau berkata, MRA mengucapkan tahniah dan terima kasih atas kerjasama pihak depoh berkenaan dalam urusan penyampaian bantuan itu.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com