Model Hampir Buta Selepas Tukar Warna Mata


MIAMI - Seorang model yang terkenal di laman Instagram kini menyesal seumur hidup apabila dia hampir buta selepas menjalani satu pembedahan plastik untuk menukar warna matanya.

Nadinne Bruna, 32, hilang 80 peratus penglihatan di mata kanan dan 50 peratus di mata kirinya selepas menjalani pembedahan memasukkan implan silikon.

Oleh kerana prosedur itu diharamkan di Amerika Syarikat akibat bahaya, Nadinne berjumpa doktor di Bogota, Colombia untuk menukar warna matanya daripada perang kepada kelabu cair.

Model yang tinggal di Miami, Florida itu menjalani prosedur berkenaan bersama pembedahan laser pada September 2016 tetapi tidak lama selepas itu matanya mula sakit.

Nadinne berkata, penglihatannya mula menjadi kabur kerana implan itu menekan saraf optik dan selama beberapa bulan matanya menjadi merah serta sakit.

Dia kembali ke Colombia pada Mac dan Jun 2017 untuk menjalani dua pembedahan bagi memulihkan penglihatannya tetapi tidak berjaya.

Akhirnya, Nadinne terpaksa mendapatkan rawatan di Institut Mata Bascom Palmer di Miami untuk membuang implan berkenaan.

Nadinne yang mempunyai sejuta pengikut di Instagram berkata, dia diberi diskaun untuk menjalani pembedahan menukar warna mata berkenaan tetapi kini dia menyesal seumur hidup kerana prosedur itu menyebabkan dia hampir buta.

“Kerana mempunyai pengikut yang ramai, saya sering bekerjasama dengan pakar bedah plastik sebagai satu bentuk promosi bagi perkhidmatan mereka.

“Saya berhubung dengan seorang doktor di Colombia dan dia bersetuju bekerjasama dengan saya.

“Sebelum pembedahan ini saya mempunyai mata yang sihat tetapi kini semuanya berubah. Penglihatan saya kini seperti orang berusia 90 tahun,” jelasnya.-Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com