Misbun Mampu Bentuk Jaguh Dunia


KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu membuat perancangan dari sekarang bagi melahirkan pemain yang mampu diletakkan sandaran memastikan pingat perseorangan lelaki Sukan Komanwel kekal milik Malaysia.

Jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei mengembalikan semula dominasi Malaysia dalam acara itu pada Sukan Komanwel apabila menghadiahkan emas kepada kontinjen negara selepas menewaskan pemain India, K Srikanth 19-21, 21-14, 21-14 dalam aksi final di Gold Coast, Australia, semalam.

Chong Wei sebelum ini turut memenangi emas pada edisi 2006 di Melbourne dan 2010 di New Delhi.

Dengan temasya di Gold Coast menjadi penampilan terakhir Chong Wei, 36, BAM tidak mempunyai pilihan selain melahirkan muka baharu yang mampu diletakkan sandaran bagi mengekalkan dominasi Malaysia.

Bekas pemain kebangsaan, Rashid Sidek berkata, Malaysia mempunyai beberapa pemain yang berpotensi seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Leong Jun Hao, Lee Zii Jia dan Cheam June Wei namun mereka perlu digilap dengan sentuhan jurulatih yang berpengalaman.

Katanya, ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek adalah individu paling layak bagi membimbing pemain berkenaan.

"Kita ada empat tahun lagi sebelum temasya seterusnya, bagi saya ia tempoh lebih daripada cukup untuk kita melahirkan pemain yang mampu dijadikan sandaran.

"Namun, mereka ini perlu dilatih jurulatih yang betul, berpengalaman dan tahu ramuan yang diperlukan untuk menjadi jaguh dunia. Dalam hal ini, Misbun paling layak berdasarkan rekod dimilikinya.

"BAM seharusnya meletakkan pemain berkenaan terus di bawah kendalian Misbun," kata Rashid yang memenangi emas Sukan Komanwel 1990 di Auckland dan 1994 di Victoria.

Pada saingan di Gold Coast, skuad badminton negara meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa.

Emas hadir menerusi Chong Wei dan Chow Mei Kuan-Vivian Hoo (beregu wanita) manakala perak dalam acara berpasukan campuran. Beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meraih gangsa.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com