Minta Tolong Jiran 'Check' Baki Akaun, Tapi Dia Kebas RM52,000


KUANTAN – Seorang pembantu restoran mengalami kerugian RM52,000 apabila wang dalam akaunnya hilang selepas meminta pertolongan jiran untuk memeriksa baki akaun bank tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata wanita berusia 41 tahun itu telah memberi kad ATM miliknya kepada jiran yang dikenali sebagai Kak Pah untuk memeriksa baki akaun dalam bank pada Mei tahun lepas.

“Mangsa kemudian meminta suspek menyerahkan semula kad ATM kepadanya, namun wanita itu enggan membuat demikian dengan memberi pelbagai alasan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata mangsa yang curiga dengan alasan diberikan, kemudiannya pergi memeriksa akaun bank semalam dan mendapati wang simpanannya berkurangan sebanyak RM52,000.

Susulan itu, katanya mangsa membuat laporan polis dan pihaknya telah menahan sepasang suami isteri yang juga jiran mangsa berumur 57 dan 52 tahun di Perumahan Pak Mahat, petang kelmarin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com