Menteri Myanmar Lawat Pelarian Rohingya Di Bangladesh


DHAKA - Menteri Myanmar akan melawat kem pelarian Rohingya di Bangladesh semalam, kata pegawai, lawatan jarang yang diharapkan Dhaka membantu mempercepatkan kepulangan ratusan ribu minoriti negara jiran mereka itu.

Menteri Kebajikan Sosial, Bantuan dan Penempatan Semula, Win Myat Aye, akan bercakap kepada kira-kira 700,000 etnik Islam Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman tentera di Myanmar sejak Ogos lalu.

"Ramai penduduk negaranya berada di sini dan menjadi kewajipan moral menteri untuk melihat keadaan pelarian.

"Negaranya mungkin mahu menunjukkan kepada pemimpin global bahawa mereka ikhlas dengan usaha penghantaran pulang," kata Pesuruhjaya Bantuan dan Pemulihan Pelarian Bangladesh, Mohammed Abdul Kalam.

Katanya, Bangladesh mahu menyelesaikan masalah itu secepat mungkin kerana ia menjadi beban kepada negara mereka yang tidak mampu ditanggung lagi.

Win Myat Aye mengesahkan kepada Reuters minggu lalu beliau akan melawat Bangladesh.

Kalam akan mengiringi beliau dalam lawatan ke kem di Kutupalong, lokasi ramai pelarian tinggal dalam pondok dibuat daripada buluh dan plastik yang tidak mampu bertahan dalam hujan lebat dan ribut pada musim tengkujuh apabila ia bermula Jun ini.

Pegawai Kementerian Luar Bangladesh berkata, negaranya mahu menunjukkan kepada Win Myat Aye cabaran yang dihadapi dalam menempatkan pelarian di Cox's Bazar yang bersempadan dengan Myanmar. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com