Melayu Dipergunakan Dalam DAP


MELIHAT senarai calon dikemukakan oleh DAP bagi satu demi satu negeri, ada juga terselit dicelah-celahnya calon berbangsa Melayu yang pasti akan ‘dipergunakan’ jika diperlukan kelak.

Dengan penggunaan logo PKR oleh setiap parti dalam gabungan pembangkang PKR, calon-calon DAP boleh ‘menyelinap’ di mana-mana kawasan pun tanpa disedari oleh para pengundi.

Strategi parti tersebut seperti dilihat di Selangor, Perak dan Pahang, adalah bukannya meletakkan calon-calon Melayu terbabit sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen, tetapi calon di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Semasa pasca Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) tahun 2008, DAP hanya dapat mencalonkan Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham sebagai calon Menteri Besar Perak. Sudah tentu ia memberi pengajaran besar kepada parti itu bahawa ia memerlukan calon Melayu sekiranya benar-benar hendak mengisi kerusi Menteri Besar.

Malah, dengan segala drama yang berlaku di Kerajaan negeri Selangor termasuk episod langkah Kajang, mengapa DAP perlu bergantung kepada rakan-rakan dalam gabungan pembangkang PKR sekiranya mereka sendiri boleh kemukakan calon Menteri Besar.

Corak kepemimpinan DAP ini dilihat sebagai semakin bongkak kerana pucuk pimpinan parti itu bagai mahu memiliki ‘kuasa penuh’ sekiranya menjadi kuasa majoriti bagi mana-mana kerajaan campuran.

Permainan politik ini sangat halus namun ramai yang tidak menyedari bahawa nasib individu Melayu dalam DAP adalah tidak lebih daripada diperalatkan oleh pucuk pimpinan parti itu yang bersifat cauvinis dan mementingkan diri sendiri.

Jikalau pendedahan daripada bekas Naib Pengerusi DAP seperti Zulkifli Mohd. Noor serta Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim tidak cukup membuka mata, maka Datuk Zaid Ibrahim yang menganggotai parti itu selama setahun, sudah cukup berterus-terang apabila memanggil DAP sebagai ‘Parti Cina’ yang pemimpin-pemimpinnya angkuh.

Nasib Melayu tidak akan ke mana di bawah DAP, hanya menanti masa untuk dipinggirkan setelah keringat dan pengorbanan diperah sepuas-puasnya. Pada ketika itu, penyesalan pun tidak berguna kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’. 

Sumber: Utusan Online



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com