MB Perlis Bidas Pihak Dakwa Beliau Berpolitik Dalam Masjid


KANGAR – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man semalam membidas tindakan sesetengah pihak yang mendakwa beliau berpolitik di dalam masjid sehingga isu itu tular menerusi media sosial kelmarin.

Katanya perbuatan yang tidak berdasarkan fakta itu adalah politik kotor yang bertujuan mencemarkan imejnya.

“Cari kelemahan dalam pentadbiran kerajaan untuk saya jawab jika ada, ini barulah profesional,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Jualan Sentuhan Rakyat dan Perasmian Program KEMAS 4U Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong di sini, hari ini.

Azlan yang juga calon Barisan Nasional untuk DUN Bintong menjadi sasaran pengguna media sosial apabila isu beliau memberi sumbangan bersempena Ramadan kepada golongan kurang bernasib baik di sebuah masjid dipesongkan seolah-olah beliau berucap mengenai politik di dalam masjid, sekali gus melanggar titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail baru-baru ini.

“Saya bukanlah rakyat yang mencabar kedaulatan raja, tambahan pula dalam kedudukan saya sebagai menteri besar, jadi tak payah guna isu begini dengan tujuan politik murahan dalam masa sama nak cemarkan nama saya,” katanya lagi.

Azlan turut mengingatkan semua pihak agar mengkaji maklumat yang tersebar sebelum membuat rumusan bagi menghindari fitnah.

Sementara itu mengenai beberapa insiden melibatkan calon gabungan pembangkang PKR yang hilang kelayakan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14, Azlan berkata dari situ rakyat boleh menilai kemampuan pembangkang untuk mentadbir negara.

“Kalau dalam urusan penamaan calon pun tak boleh teliti macam mana nak tadbir sesebuah negara?” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com