MB Negeri Sembilan Disah Menang Tanpa Bertanding


REMBAU – Penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding kerusi berkenaan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ia ekoran kegagalan calon PKR, Dr S Streram menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan di Dewan Sri Rembau di sini, hari ini dan kemudian bertindak mencetuskan kekecohan kecil semasa tempoh penamaan.

Difahamkan calon PKR itu tidak dibenarkan masuk kerana tiada pas calon manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan itu kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tersebut.

Kemenangan itu diisytiharkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agos Suyub.

Mohamad yang mula bertanding di kerusi itu dalam PRU ke-11 pada 2004, menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu PRU ke-12 dan PRU ke-13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi. – BH ONLINE

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com