Mat Sabu Bertanding Di Parlimen Kota Raja


SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, diumumkan sebagai calon bertanding di Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain Mohamad, pengumuman oleh Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim hari ini, turut mengumumkan empat calon dari partinya mewakili pakatan pembangkang yang bertanding di kerusi Parlimen.

Mereka ialah bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang akan bertanding semula di Parlimen itu.

Penyandang Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan penyandang Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang sebelum ini bertanding atas tiket PAS kekal bertanding di kawasan masing-masing, manakala Naib Presiden PAN, Hasanuddin Mohd Yunos bertanding di Parlimen Hulu Langat.

Pada majlis itu, PAN turut mengumumkan wakil untuk bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, iaitu penyandang DUN Hulu Klang, Shaari Sungib dan penyandang DUN Morib, Hasnul Baharuddin yang juga sebelum ini mewakili PAS.

Penyandang Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud ditempatkan di DUN Seri Serdang; Ketua PAN Sabak Bernam, Ahmad Mustain Othman (DUN Sabak); Naib Pengerusi PAN Selangor, Mariam Abdul Rashid (DUN Sungai Panjang); Timbalan Ketua PAN Hulu Selangor, Amran Sakit (DUN Hulu Bernam).

Ia turut membabitkan Izham (DUN Pandan Indah); Ketua Pemuda PAN, Mohd Sany Hamzan (DUN Taman Templer); Ketua PAN Serdang, Mazwan Johar (DUN Sungai Ramal) dan Pengerusi Biro Dakwah PAN Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (DUN Meru).

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau menerima keputusan yang ditetapkan parti untuk mempertaruhkannya di Parlimen terbabit.

Beliau turut menafikan pencalonnya itu di 'tempat selamat' berikutan penyandang Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah memperoleh kemenangan majoriti besar pada PRU lalu iaitu sebanyak 29,395 undi.

"Tak tahu (Kota Raja) selamat atau tidak. Bergantung kepada sokongan rakyat di situ.

"Siti Mariah kena kerja kuat (DUN Seri Serdang). Ini soal dalam parti dan kita akan uruskan. Pemilihan dilakukan selepas dipertimbangkan dan dinilai," katanya pada sidang media.

Pada PRU13, Mohamad bertanding mewakili PAS di Parlimen Pendang tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional, Datuk Othman Abdul.

INFO : Senarai calon PAN bertanding di Selangor pada PRU14.

* Mohamad Sabu (Parlimen Kota Raja)

* Dr Dzulkefly Ahmad (Parlimen Kuala Selangor)

* Khalid Abdul Samad (Parlimen Shah Alam)

* Mohamed Hanipa Maidin (Parlimen Sepang)

* Hasanuddin Mohd Yunos (Parlimen Hulu Langat)

* Shaari Sungib (DUN Hulu Klang)

* Hasnul Baharuddin (DUN Morib)

* Dr Siti Mariah Mahmud (DUN Seri Serdang)

* Ahmad Mustain Othman (DUN Sabak)

* Mariam Abdul Rashid (DUN Sungai Panjang)

* Amran Sakit (DUN Hulu Bernam)

* Mohd Sany Hamzan (DUN Taman Templer)

* Mazwan Johar (DUN Sungai Ramal)

* Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (DUN Meru)

* Izham Hashim (DUN Pandan Indah)

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com