Masyarakat Palestin Ucap Terima Kasih Kerajaan


KUALA LUMPUR – Anggota keluarga pensyarah warga Palestin yang dibunuh di Setapak di sini Sabtu lepas dan masyarakat Palestin di Malaysia mengucapkan terima kasih atas perpaduan teguh yang ditunjukkan kerajaan dan rakyat Malaysia berhubung kejadian itu.

Dr. Abdalrahim Shehab, sahabat karib dan rakan senegara pensyarah kejuruteran elektrik yang ditembak mati itu, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh, berkata keluarga mangsa juga mengucapkan terima kasih kepada dua wakil Malaysia yang akan mengiringi mereka bagi memudahkan penghantaran pulang mayat mangsa ke Gaza.

“Bagi pihak keluarga dan masyarakat Palestin, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaaan dan rakyat Malaysia atas sokongan dan dedikasi berterusan yang diberi kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil atas kunjungan beliau,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam kejadian 6 pagi Sabtu lalu, Fadi, 35, yang bertugas di sebuah pusat pengajian tinggi swasta, ditembak mati ketika menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh di luar sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak.

Terdahulu, Shahrizat, yang mewakili sayap wanita UMNO, menyampaikan sumbangan kepada isteri mangsa, Enas Al Batsh, 31, dan tiga anak pasangan suami isteri itu di kediaman mereka di Setapak di sini.

“Bagi pihak UMNO, saya menyampaikan ucapan takziah kami serta berdoa agar keluarga ini sentiasa tabah dalam menghadapi saat-saat yang memilukan ini,” katanya.

Menurut laporan, dua lelaki memakai topi keledar bertutup muka penuh dan menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi, menunggu selama 20 minit di dalam gelap berhampiran Jalan Meranti sebelum membunuh mangsa. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com