Masyarakat Dunia Digesa Bantu Penduduk Syria


NEW YORK (PBB) - Duta Amerika Syarikat, Nikki Haley mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan tegas susulan dakwaan serangan senjata kimia di Syria.

Malah, Haley menegaskan bahawa Washington sedia untuk bertindak balas terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam serangan berkenaan.

"Sudah sampai masanya bagi masyarakat dunia untuk menegakkan keadilan," kata Haley pada mesyuarat tergempar UNSC di sini.

Mesyuarat itu diadakan susulan permohonan dari Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan enam negara lain selepas gas toksin didakwa digunakan dalam serangan ke atas bandar yang dikuasai pemberontak di Douma, Syria.

Sekurang-kurangnya 40 mangsa dilaporkan terbunuh dalam serangan berkenaan.

Sementara itu, Russia berkata, serangan oleh tentera Amerika Syarikat terhadap Syria akan memberikan kesan yang buruk dan menekankan bahawa penggunaan klorin atau sarin dalam serangan pada Sabtu di Douma, masih belum disahkan.

Justeru, Moscow menolak cadangan Washington untuk menubuhkan panel bebas bagi menyiasat pihak yang bertanggungjawab dalam serangan senjata kimia di Syria itu.

Duta Russia, Vassily Nebenzia ketika memberitahu wartawan, draf resolusi yang diserahkan oleh Amerika Syarikat mengandungi beberapa perkara yang dianggap tidak masuk akal, berbanding cadangan yang dikemukakan Washington sebelum ini. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com