Masyarakat Cina Akan Pilih BN Pada PRU14


KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah yakin masyarakat Cina akan memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Raymond berkata keyakinannya itu bersandarkan kepada trek rekod cemerlang BN sebagai peneraju kerajaan yang begitu bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal negeri dan negara untuk membawa kesejahteraan kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum.

Mengenai Sabah, Raymond yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat lebih 25 tahun, berkata trek rekod cemerlang BN di Sabah bukan sekadar dibuktikan sepanjang lima tahun lalu tetapi sejak lebih 25 tahun parti BN mengambil alih tampuk pemerintahan negeri dan kesan positifnya turut dirasai masyarakat Cina dalam pelbagai aspek.

“Pada pandangan saya, komuniti Cina keseluruhannya lebih memberi tumpuan kepada kehidupan mereka, aktiviti harian dan juga kos sara hidup. Dan mereka sangat mementingkan mengenai pendidikan anak-anak. Ia adalah sebahagian daripada budaya kami yang memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah sekarang kebanyakannya adalah memberi galakan dan menyokong terutamanya dalam bidang pendidikan Cina. Ia bukan hanya di Sandakan tetapi seluruh Sabah.

“Seperti sekolah vernakular Cina, ia mendapat bantuan kewangan secara konsisten dan jumlahnya pula bukan semakin berkurangan tetapi setiap kali terdapat peningkatan dari segi jumlah sumbangan dana yang diberikan kepada sekolah-sekolah,” katanya kepada Bernama.

Untuk rekod, Raymond yang juga Naib Presiden Gerakan, berkata kerajaan negeri Sabah memperuntukkan kira-kira RM300 juta kepada sekolah-sekolah bukan Islam dan tempat beribadat di Sabah sejak 10 tahun lepas.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, bantuan kewangan kepada sekolah bukan Islam dan rumah ibadat telah dinaikkan kepada RM30 juta setahun berbanding RM1.5 juta semasa mula beliau menjawat jawatan berkenaan.

“Perkara lain sudah pasti pembinaan tokong kami. Ini adalah antara perkara yang dilakukan kerajaan negeri bukan hanya memberi bantuan kewangan tetapi juga memberi kelulusan tanpa banyak persoalan bagi komuniti Cina membina tokong dan rumah ibadat.

“Selain itu katanya kepelbagaian agama dan etnik di Sabah tidak pernah menimbulkan konflik kerana mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Malah di kawasan saya, di Tanjung Papat, Sandakan, Masjid Daerah Sandakan terletak berhampiran tokong besar, dalam satu kawasan. Dan masyarakat Cina dan Melayu di kampung itu telah tinggal di sana selama bertahun-tahun hidup dalam harmoni. Tidak pernah berlaku konflik atau masalah mengenai agama,” katanya.

Mengenai dasar ekonomi kerajaan BN, Raymond berkata komuniti Cina di Malaysia mempunyai kelebihan dari segi sejarah, dan boleh memainkan peranan utama bagi pembangunan negara.

Katanya hubungan baik Malaysia dengan China misalnya, telah membuahkan hasil dalam bentuk pelaburan besar yang akan memberi impak kepada kemajuan ekonomi negara.

Melihat kepada kejayaan Malaysia dan Sabah khususnya dalam memacu ekonomi negara, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah itu berkata rakyat, termasuk komuniti Cina perlu memberi kredit sewajarnya kepada kepimpinan Musa di peringkat negeri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana masing-masing telah mentadbir negeri dan negara dengan penuh tanggungjawab.

“Kadang-kadang apabila anda terlalu gembira dengan kehidupan anda, anda lupa orang di sebalik (nikmat hidup yang anda kecapi) yang telah memeras fikiran dan berkorban masa untuk memastikan apa yang dinikmati berterusan.

“Kadang-kadang amat lucu apabila ekonomi kukuh, malah nilai ringgit dan harga minyak semakin kukuh, kita tidak pernah memberi kredit (kepada individu di sebalik kejayaan itu),” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com