Masuk Musim Pilihan Raya, Tiada Lagi Gangguan 'Orang Minyak'


KUBANG KERIAN - Kisah serangan dan gangguan yang dikatakan dilakukan oleh 'orang minyak' di Kampung Pengkalan Demit di sini awal bulan ini tidak lagi kedengaran sejak bermula musim pilihan raya.

Bahkan penduduk kampung berkenaan mengakui mereka aman seketika apabila lembaga yang dikatakan 'orang minyak' itu menghilangkan diri sejak seminggu lalu.

Menurut bapa kepada salah seorang mangsa, Kamarulzaman Mat Yunus, rumah dan sekitar kampung ini aman dari gangguan orang minyak apabila tiada lagi kejadian tingkap pecah dan jelmaannya. 

"Keadaan sekarang, Alhamdulillah sudah selesai, tidak ada apa-apa. Dalam kampung juga aman, cuma ada yang datang bertanya khabar sahaja. Mungkin semua sibuk tumpu pilihan raya," katanya.

Senada dengan beliau ialah salah seorang penduduk kampung berkenaan, Mohd Nazrin Mohd Nasir, yang turut sama terlibat mengawasi keadaan sewaktu berlaku serangan dan gangguan sebelum ini.

Beliau menjelaskan, berkat solat Hajat dan bacaan Yasin yang sering dibaca penduduk kampung, situasi menjadi kembali tenang.


Kini, katanya, penduduk kampung boleh menumpukan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung bulan depan, dengan aktiviti menggantung bendera dan sebagainya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung (JKPP) Mukim Pulau, Izam Mohd Noor berkata, usaha penduduk kampung termasuk dengan mendapatkan bantuan bomoh dan pakar perubatan Islam, telah membawa kepada perubahan tersebut.

"Sekarang kampung ini aman, tiada lagi gangguan, semua orang boleh menjalankan tugas menumpukan kepada PRU14. Alhamdulillah," katanya.

Sebelum ini, Kampung Pengkalan Demit diganggu dengan kehadiran orang minyak yang dikatakan melemparkan batu ke arah rumah penduduk, sehingga memecahkan tingkap.

Kemuncaknya pada 1 April lepas, orang minyak dikatakan mengikat dan cuba menodai seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, namun ia berjaya dihalang oleh penduduk kampung.

Kejadian lebih sebulan lalu itu memaksa penduduk kampung berjaga setiap masa dan lebih mengawasi anak gadis mereka.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com